Kembali semula subsidi diesel antara 8 tuntutan Himpunan 'Rakyat Lawan Anwar'

Kembali semula subsidi diesel antara 8 tuntutan Himpunan ‘Rakyat Lawan Anwar’

KIRA-KIRA 300 peserta berhimpunan dalam Himpunan Rakyat Tolak Anwar di pekarangan Kompleks Seri Perdana, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lapan tuntutan disuarakan pada perhimpunan ‘Rakyat Lawan Anwar’ di Kompleks Kediaman Seri Perdana, Presint 10, di sini.

Tuntutan itu termasuk mengembalikan semula subsidi diesel, mengembalikan beras putih tempatan (BPT) di pasaran, membenarkan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan menangani kenaikan kos sara hidup.

Selain itu, tuntutan lain termasuk menyelamatkan sistem kesihatan negara, memberi peruntukan sama rata kepada Ahli Parlimen pembangkang, tidak menyekat hak kebebasan bersuara dan mengembalikan kedaulatan ekonomi negara.

Lapan tuntutan itu dikemukakan oleh lapan individu mewakili aktivis politik, pempengaruh media sosial, wakil pencarum KWSP dan beberapa pemimpin politik tempatan.

Turut bergema pada perhimpunan itu sorakan ‘halau BlackRock’, ‘jahanam pengkhianat’, ‘hancur Israel’, ‘bangkit rakyat’, ‘lawan Anwar’ dan ‘reformasi’.

Program bermula pukul 5 petang itu dimulakan dengan solat Asar berjemaah di ruang parkir disusuli lagu Negaraku dan pembentangan tuntutan.

Lebih 300 peserta hadir pada perhimpunan itu yang kebanyakannya berbaju hitam sambil memegang sepanduk sebelum program bersurai sekitar pukul 6.40 petang.

Turut hadir pada perhimpunan sama termasuk aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Chegubard; Ahli Jawatankuasa Badan Pimpinan Negeri Bersatu Wilayah Persekutuan, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dan Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali.

Terdahulu, peserta perhimpunan mula berkumpul di perkarangan kompleks kediaman berkenaan seawal pukul 3 petang dengan kawalan ketat oleh anggota polis.

Malah, polis juga terpaksa menutup laluan masuk ke kediaman rasmi Perdana Menteri itu serta kawasan sekitarnya selain turut dipasang penghadang.

Difahamkan, anggota dan pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya serta Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dikerah untuk berkawal di kompleks kediaman itu.

Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa menyatakan perhimpunan berkenaan tidak mendapat kebenaran Perbadanan Putrajaya (PPj) selaku pemilik tanah. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya