Kelantan harap kerajaan pertimbang subsidi diesel untuk PBT

Kelantan harap kerajaan pertimbang subsidi diesel untuk PBT

HILMI Abdullah-UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan berharap agar Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan untuk segera memberikan subsidi diesel kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara yang menjalankan perkhidmatan pembersihan sampah demi keselesaan hidup rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Hilmi Abdullah berkata, kegagalan menyegerakan langkah berkenaan akan menjejaskan kerja pembersihan dilaksanakan oleh PBT.

Menurutnya, semua PBT di negara ini menjalankan perkhidmatan pembersihan sampah namun hanya tujuh negeri termasuk Kelantan menjalankan sendiri kerja-kerja pembersihan berikutan belum menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

“Bagi negeri-negeri yang telah menerima Akta 672, kerja-kerja pembersihan dilaksanakan oleh syarikat konsesi. Hanya Kelantan dan enam negeri lain masih menjalankan kerja-kerja pembersihan sendiri.

“Kenaikan harga diesel dari RM2.15 seliter kepada RM3.35 seliter memberi kesan besar kepada PBT yang kita tahu memberikan perkhidmatan tanpa keuntungan bagi menyelesaikan sampah-sampah domestik,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Hilmi memberitahu, sebelum ini pihaknya pernah membuat permohonan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming untuk membawa isu kenaikan harga diesel kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Pada awal tahun lalu kita sudah buat permohonan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan jangkaan kenaikan harga diesel pada bulan Jun tetapi tiada jawapan daripada menteri.

“Kali terakhir perkara ini diangkat dalam mesyuarat adalah pada bulan lepas dan setakat ini Kerajaan Persekutuan belum lagi memberikan subsidi diesel kepada PBT manakala penghapusan subsidi diesel diumumkan sebelum sempat perbincangan antara kementerian dibuat,” ujarnya.

Hilmi berkata, pengumuman langkah penyasaran subsidi diesel oleh kerajaan menyebabkan kos operasi ditanggung PBT meningkat sekali ganda termasuk tiga tapak pelupusan sampah di Kelantan iaitu di Kok Bedullah (Tumpat), Beris Lalang (Bachok) dan Bukit Che Ros (Tanah Merah).

“Kos bagi operasi harian di tapak pelupusan sampah Kok Bedullah dan Bukit Che Ros (dua ekskavator) serta Beris Lalang (empat ekskavator) adalah dalam lingkungan 1,200 liter sehari.

“Dengan harga diesel bersubsidi, kos operasi di ketiga-tiga tapak pelupusan itu adalah sebanyak RM79,980 sebulan berbanding RM124,620 sebulan selepas subsidi diesel dihapuskan. Kos kerugian bulanan disebabkan penghapusan subsidi diesel adalah sebanyak RM44,640,” ujarnya.

Tambahnya, jumlah tersebut belum melibatkan kos operasi ditanggung oleh 12 PBT di Kelantan dengan jentera pengurusan sampah (kompaktor dan roro) perlu bergerak ke seluruh kawasan operasi yang luas bermula pagi sehingga malam melibatkan pergerakan tanpa henti.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya