Kekurangan diri tak halang Nurin jadi usahawan muda pencanting batik

Kekurangan diri tak halang Nurin jadi usahawan muda pencanting batik

NURIN Alya Halid, 26, yang juga pemilik Rinleed Batik dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sumber Inspirasi bersama kedua ibu bapanya, Noorsaadah Mashudi dan Halid Ahmad pada Majlis Konvokesyen Persijilan Kemahiran Malaysia Murid Berkeperluan Khas Tahun 2024 di Putrajaya. - UTUSAN/KAMARIAH KHALIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tidak mampu mendengar dan bisu bukan penghalang untuk seorang gadis melakar kejayaan dalam kehidupannya sebagai seorang usahawan muda.

Sentiasa berpegang kepada semangat ingin berjaya, Nurin Alya Halid, 26, bukan sahaja mampu menamatkan pengajian peringkat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 dalam program Operasi Pengeluaran Batik, malah kini mengusahakan perniagaan Rinleed Batik.

Menurut bekas pelajar Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Shah Alam, Selangor itu, walaupun sudah memiliki perniagaan sendiri, ia bukan lah alasan untuk dirinya mendabik dada atau berhenti berusaha dengan lebih keras.

“Saya mampu sampai ke tahap sekarang atas sokongan dan dorongan kedua ibu bapa serta Kementerian Pendidikan (KPM) sehingga berjaya membuka bengkel perusahaan produk batik.

“Sebab itu saya seru kepada rakan-rakan yang senasib agar teruskan berusaha dan jangan malas. Anugerah yang diterima ini sama-sama dijadikan pendorong untuk semua orang mencapai impian masing-masing.

“Syukur kepada Allah SWT yang mengurniakan pelbagai kelebihan kepada diri saya sehingga menjadi satu punca rezeki dengan mencanting dan melukis batik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Konvokesyen Persijilan Kemahiran Malaysia Murid Berkeperluan Pendidikan Khas Tahun 2024 di sini baru-baru ini.

Pada majlis konvokesyen tersebut, Nurin dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sumber Inspirasi 2024 yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.

Bercerita lanjut, anak ketiga daripada enam adik beradik itu berkata, perniagaan yang beroperasi di sebuah bengkel mencanting batik di Tangkak, Johor itu menawarkan pelbagai produk antaranya kain pasang, kaftan, jubah serta fabrik berasaskan batik canting dan blok dengan motif tradisional, geometri dan bunga-bungaan.

Jelas Nurin, ilmu dan kemahiran yang diterima dalam bidang tersebut banyak membantu dirinya dalam proses mendirikan perniagaan, selain memperolah bantuan serta sokongan daripada Jabatan Perdana Menteri.

Tambanya lagi, Rinleed Batik juga aktif dalam menganjurkan aktiviti interaktif kraf mewarna batik bukan sahaja di bengkel miliknya, malah turut diperluas ke sekitar daerah Tangkak bagi tujuan mempromosi pelancongan.

“Saya mahu terus berusaha keras dalam dunia pembuatan batik dan menjadi lebih berjaya pada masa akan datang. Saya juga memasang impian untuk membuka kedai sendiri dan membawa produk-produk di hasilkan ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Kemahiran dan kebolehan yang dimiliki dalam bidang batik cantingan turut melayakkan gadis orang kelainan upaya (OKU) ketidakupayaan pendengaran dan pertuturan itu menerima sijil pematuhan standard batik daripada Agensi Kraftangan Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya