Kekosongan jawatan dalam talian suku keempat 2023 meningkat 32.5 peratus - Utusan Malaysia

Kekosongan jawatan dalam talian suku keempat 2023 meningkat 32.5 peratus

GRADUAN yang mencari pekerjaan pada Jelajah Karnival Kerjaya Perak Sejahtera Daerah Muallim 2024 di Tanjung Malim baru-baru ini. – UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bilangan kekosongan jawatan diiklankan dalam talian pada suku tahun keempat 2023 merekodkan peningkatan sebanyak 32.5 peratus dengan 448,181 kekosongan berbanding 338,305 kekosongan pada suku tahun ketiga tahun lalu.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd.Uzir Mahidin berkata, terdapat sebanyak 85,814 pertubuhan yang menawarkan kekosongan jawatan berbanding 77,499 pertubuhan yang direkodkan pada suku tahun ketiga 2023.

“Berdasarkan perbandingan tahun ke tahun, bilangan kekosongan jawatan mencatatkan pertumbuhan tiga digit iaitu 119.2 peratus berbanding 77.9 peratus pada suku ketiga tahun 2023.

“Pada bulanan suku keempat 2023, kekosongan jawatan yang diiklankan dalam talian yang tertinggi adalah pada bulan Disember 2023 iaitu sebanyak 172,777 kekosongan. Sementara itu, terdapat 137,449 dan 137,955 kekosongan pada bulan Oktober dan November 2023.

Mengulas lanjut, Mohd.Uzir berkata, bagi kekosongan jawatan diiklankan dalam talian berdasarkan kategori pekerjaan, hampir separuh daripada kekosongan jawatan tertumpu dalam bidang profesional dengan 48.9 peratus atau 218,947 kekosongan pada suku keempat tahun lalu.

“Ini diikuti oleh 18.5 peratus (82,950) bagi kategori pengurus manakala, juruteknik dan profesional bersekutu menyumbang 17.0 peratus (76,284).

“Terdapat permintaan yang lebih tinggi untuk bidang profesional pengiklanan dan pemasaran, Profesional bersekutu pentadbiran, pengarah urusan dan Ketua Eksekutif, akauntan dan juruaudit serta pembangunan perisian,” katanya.

Jelas Mohd. Uzir, bagi kekosongan jawatan mengikut sektor ekonomi, kebanyakan kekosongan jawatan pada suku tahun keempat 2023 adalah dalam sektor perkhidmatan dengan 50.9 peratus atau 228,148 kekosongan.

“Melihat kepada kekosongan jawatan mengikut aktiviti ekonomi, perdagangan borong dan runcit mendominasi kekosongan dengan 15.9 peratus atau 71,154 pekerjaan.

“Pembuatan merekodkan sejumlah 32,976 kekosongan (7.4 peratus), diikuti oleh aktiviti pentadbiran dan khidmat sokongan sebanyak 32,113 kekosongan (7.2 peratus) dan aktiviti profesional, saintifik dan teknikal dengan 27,757 kekosongan (6.2 peratus).

Menurut Mohd. Uzir, pekerjaan popular yang ditawarkan dalam kategori Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ialah pekerjaan profesional pengiklanan dan pemasaran yang mencatatkan bilangan kekosongan jawatan tertinggi (33,079), diikuti oleh profesional bersekutu pentadbiran (20,240) dan jurutera perisian (12,318).

“Bagi kategori Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), tiga pekerjaan utama ialah pengurus projek (4,662), jurutera perisian (3,571) dan juruteknik (3,084).

“Sementara itu, pekerjaan dengan permintaan tertinggi bagi Senarai Pekerjaan Kritikal Critical Occupation List (COL) ialah profesional pengiklanan dan pemasaran (33,079), Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif (19,266) serta Akauntan dan Juruaudit (18,025),” katanya.

Mengenai kekosongan jawatan diiklankan dalam talian di peringkat negeri, semua negeri kecuali Perlis menunjukkan peningkatan kekosongan berbanding suku tahun ketiga 2023.

“Kuala Lumpur mencatatkan kekosongan jawatan tertinggi iaitu 81,574 atau 18.2 peratus.Pada masa yang sama, negeri lain yang mempunyai kekosongan jawatan yang tinggi ialah Selangor dengan 43,673 (9.7 peratus), diikuti Johor sebanyak 19,822 (4.4 peratus).

“Sementara itu, negeri Perlis merekodkan kekosongan terendah iaitu hanya 79 kekosongan jawatan sahaja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya