LANGKAH mula penyanyi, Hasif Upin dalam dunia seni juga seperti mengundang gumpulan awan kecaman.
Tidak semena-menanya, ada segelintir pihak yang kurang gemar dengan nyanyian dan lagunya.
Malah, ketika dia mengumumkan kolaborasi single bersama Ziana Zain juga, segelintir pihak melihat dia sebagai artis tempelan. Sungguh tidak manis bukan?
Namun semua itu tidak merencatkan perjalanan pemuda berusia 30 tahun itu.
Tampil dengan filem pertama, Paku Tanah Jawa, Hasif tetap menerima kecaman lantaran wataknya yang dikatakan terlalu kecil untuk dibanggakan.
Jawablah mendapatkan Hasif, menjawab dakwaan dan kecaman tersebut.
Tahniah, nampak gayanya Hasif mula mengembangkan bakat dalam dunia lakonan pula? Berlakon filem hantu Indonesia pula itu.
Iya, ini filem pertama saya. Harapnya bukan yang pertama dan terakhir. Sebenarnya, kalau tanya perasaan, tipulah kalau tidak bangga dengan pencapaian diri sendiri. Saya harap peminat nampak usaha saya.
Kalau dahulu mungkin ada yang persoal kehadiran saya dalam industri seni. Ada yang cakap saya tidak ada bakat, sekadar menempel populariti artis senior. Sekarang, saya mahu berusaha buktikan kemampuan diri.
Tetapi pada masa sama, saya pun masih belajar. Janganlah anggap saya terus hebat sebagai pelakon. Nama pun bertatih, baru setahun jagung. Sebab itu, saya berharap ada tawaran lain selepas filem ini.
Tetapi baru sahaja ditayangkan, sudah ada kata-kata belakang yang mengatakan watak Hasif dalam filem itu terlalu kecil. Sehingga ada yang cakap, kalau tiada karakter Fandi itu pun tidak mengapa. Terguris tak hati bila tahu?
Tipulah kalau tiada rasa apa-apa. Kita pun manusia. Tetapi saya selalu ajar diri sendiri untuk sentiasa bersyukur. Biarlah sekecil-kecil peluang sekali pun, saya harus hargai dan bersyukur.
Semua itu rezeki daripada Allah. Saya sendiri, dari kecil menonton sinetron lakonan Masayu Anastasia, tidak sangka bila besar dapat berlakon dalam satu babak dengan pelakon popular Indonesia itu.
Bagi saya itu satu peluang yang sangat besar. Tidak kisah watak kecil atau besar, yang penting peluang itu ada. Mana tahu, itu bakal membuka pintu peluang lebih besar untuk saya di sana.
Jadi tiadalah istilah meroyan, kecil hati bila berdepan kecaman itu? Atau Hasif sudah biasa makan nasi berulam kecaman?
Saya sejak masuk industri seni pun sudah macam-macam orang kecam. Kolaborasi dengan Ziana Zain sehingga pentas AJL juga masih ada yang tidak berpuas hati. Tetapi itu semua tidak membunuh semangat saya.
Kecamlah, saya biasa-biasa sahaja. Kerja tetap perlu diteruskan. Saya bukan mahu berada dalam industri seni untuk setahun dua. Kalau diberi rezeki, mahu kekal relevan seperti kak Ziana.
Hendak tanya soalan kelakar tetapi jangan terasa hati. Kenapa bila Hasif melontarkan dialog dalam filem itu, macam ada gumpalan tisu dalam mulut? Atau itu memang karakter Hasif?
Kurang jelas ya? Saya sendiri akui itu. Sebenarnya sebelum saya memulakan penggambaran, ada gempa bumi yang berlaku. Bayangkan, rumah penginapan yang saya tinggal itu bergegar kuat.
Esoknya saya perlu berlakon. Jadi memang ada anxiety, panik dan rasa trauma itu. Saya ketika itu pula sedang tidur, seorang diri dalam bilik. Memang terkejut habis bila katil saya bergegar secara tiba-tiba.
Nasib baik pengarah, Bambang sangat memahami keadaan saya. Tetapi pengambaran tetap perlu diteruskan kerana ada tempoh masa yang telah ditetapkan. Saya perbaiki lagi ya!
Adakah ini juga bakal menjadi titik pemula untuk Hasif mengembangkan sayap sebagai penyanyi dan pelakon di Indonesia?
Saya harap begitu. Saya suka dengan dunia lakonan. Jatuh cinta orang kata. Tetapi pada masa sama, tetap fokus dengan nyanyian. Saya bermula sebagai penyanyi dan masih jauh perjalanan itu.