‘Keadaan kami daif, namun tidak akan tinggalkan Palestin’

‘Keadaan kami daif, namun tidak akan tinggalkan Palestin’

RAKYAT Palestin meratapi kehilangan saudara-mara mereka yang terkorban dalam pengeboman Israel ke atas sebuah rumah di kem pelarian al-Bureij, berhampiran Hospital Al-Aqsa Martyrs di Deir al-Balah, Gaza, Palestin. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Kami rakyat Palestin tidak berhasrat mening­galkan rumah kami, tanah air dan rakyat kami,” kata bekas penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Asma Hussein Eslayeh.

Asmaa, 31, kini bersama keluarganya di Gaza, hidup dalam keadaan serba daif selepas rumah ladang mereka dibom rejim Zionis sehinggakan terpaksa melarikan diri sementara waktu sebelum ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Asmaa berkata, dia dan keluarganya memutuskan kembali ke kediaman mereka sejak awal tahun ini kerana bimbang ia dijadikan sebagi kubu oleh rejim Zionis jika dibiarkan kosong.

“Apabila kami pulang ke sini, segalanya sudah musnah. Kami tinggal dalam rumah yang rosak tanpa bekalan air dan elektrik, tetapi jika kediaman diketahui tidak berpenghuni, tentera Israel menjadikan rumah tersebut sebagai kubu mereka,” katanya ketika dihubungi semalam.

Berkongsikan keadaan di Gaza, Asmaa berkata, terdapat dua kelompok rakyat Palestin iaitu berlindung di kem pelarian dan menetap di kediaman ma­sing-masing walaupun dalam keadaan daif.

Menurutnya, rakyat Palestin yang menetap di kediaman masing-masing seperti keluar­ganya terpaksa mencari sumber makanan dan air sendiri kerana bantuan kemanusiaan tidak sampai serta bekalannya amat terhad.

“Kami terpaksa membeli be­kalan makanan pada harga yang sangat tinggi sehingga 10 kali ganda daripada harga asal.

“Makanan ruji kami iaitu gandum amat sukar didapati, jadi apa saja bekalan yang ada kami terpaksa beli untuk meneruskan kehidupan di sini,” katanya.

Menjawab pertanyaan jika ber­­peluang meninggalkan wila­yah tersebut, Asmaa berkata, dia tidak akan berbuat demikian selagi perang belum tamat memandangkan keluarganya sa­ngat memerlukannya ketika ini.

Asmaa yang sedang me­nunggu mendapat tajaan biasiswa untuk menyambung pengajian ke pe­ringkat Doktor Falsafah di UKM berkata, dia tidak mahu berbuat demikian kerana jika berlaku apa-apa kejadian tidak diingini amat sukar untuk berkomunikasi dengan keluarga dari luar.

“Saya sedang menunggu biasiswa untuk menyambung pe­ngajian ke peringkat PhD pada September nanti, insya-Allah, tetapi buat masa ini saya tidak boleh tinggalkan keluarga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya