Jawatankuasa ditubuhkan susulan kontrak Bestinet disambung 3 tahun

Jawatankuasa ditubuhkan susulan kontrak Bestinet disambung 3 tahun

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi membincangkan terma dan syarat susulan keputusan dasar Kabinet melanjutkan kontrak Bestinet Sdn Bhd (Bestinet) untuk tempoh tiga tahun lagi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jawatankuasa yang diketuai Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Zuki Ali itu akan membincangkan terma dan syarat syarikat yang memperkenalkan teknologi keselamatan sistem pengurusan berpusat pekerja asing.

Beliau berkata, jawatankuasa itu turut dianggotai Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Jabatan Peguam Negara (AGC).

“(Kontrak) sudah dimuktamadkan dan sudah diberi keputusan oleh Jemaah Menteri beberapa minggu lalu.

“Jawatankuasa ini membincangkan terma kontrak bermula daripada keputusan dasar yang sudah dibuat selain memasuki proses perbincangan dengan syarikat berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Saifuddin berkata, jawatankuasa itu juga membincangkan terma kontrak untuk mendukung beberapa objektif berasaskan empat prinsip asas membabitkan kecepatan proses permohonan, mengurangkan kos migrasi, aspek kebajikan dan kepentingan majikan.

“Semua itu akan menjadi satu kerangka yang memandu jawatankuasa diketuai KSN ini untuk memperhalusi terma kontrak ini.

“Sistem (pengurusan berpusat pekerja asing) ini penting dalam kecekapan untuk pengambilan pekerjaan terutama bagi menyumbang kepada sektor ekonomi (negara),” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kontrak Bestinet kemungkinan akan disambung selepas berakhir pada 31 Mei lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN