'Jangan ambil kesempatan sifat dermawan rakyat Malaysia'

‘Jangan ambil kesempatan sifat dermawan rakyat Malaysia’

MOHD NA'IM MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Aktivis atau personaliti media sosial diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan daripada sifat pemurah rakyat Malaysia dengan cara memanipulasi kutipan derma.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, mana-mana pihak perlu sedar bahawa hukuman dan azab daripada Allah SWT jika ambil harta orang lain itu amatlah pedih.

“Saya akui rakyat Malaysia sangat pemurah termasuk dalam soal membantu dan menderma. Namun, pada masa sama kita kena hati-hati dan kita tak nak sifat dermawan itu dimanipulasi oleh mana-mana pihak.

“Kita kena ingat apa yang kita ambil dari harta orang lain dan kita tak sampaikan dengan niat dan tujuan maknanya hukuman dan azab daripada Allah SWT itu amat pedih,” katanya ketika ditemui pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2023 di sini, hari ini.

Katanya, rakyat Malaysia juga perlu bijak dalam menyalurkan derma dengan memastikan ke mana wang itu diagihkan.

Sebelum ini, beberapa personaliti media sosial dikaitkan dengan dakwaan kononnya menyalahgunakan dana sumbangan orang ramai bagi tujuan peribadi.

Antara dikaitkan dengan dakwaan itu termasuk Farah Lee atau nama sebenarnya Farahin Romli selain pasangan pempengaruh, Alif Teega dan Aisyah Hijanah.

Bagaimanapun, individu-individu berkenaan menafikan pembabitan mereka dalam perkara itu dengan mengemukakan bukti-bukti sambil menyifatkan tuduhan itu sebagai fitnah semata-mata.

Terdahulu, Mohd Na’im menyampaikan APC kepada 376 penerima tterdiri daripada beberapa agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) termasuk Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN