PADANG BESAR: Setiap aset dan kekuatan yang beroperasi sekitar pekan Padang Besar hendaklah dimanfaatkan sepenuhnya bagi menjadikan kawasan ini lebih mesra pengunjung atau Customer Centric.
Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu mengambil pendekatan bagi membantu dalam penyuraian aliran trafik dan pengurusan parkir sistematik khususnya di kawasan tumpuan sekitar Padang Besar.
Titah baginda, langkah itu bertujuan bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas terutamanya pada musim cuti perayaan di samping turut mengutamakan pemasangan papan tanda yang jelas.
“Langkah-langkah ini secara tidak langsung dapat memudahkan para pengusaha dan turut memberikan kelegaan terutamanya kepada pengguna pengangkutan awam serta pengunjung dari luar Perlis,” titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Plaza Niaga Padang Besar dan Majlis Jamuan Teh Kasih Rakyat Menjunjung Daulat di sini, baru-baru ini.
Berangkat sama pada majlis itu adalah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda sulung baginda, Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.
Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, Padang Besar sangat berpotensi tinggi sebagai One Stop Centre bagi pelbagai barangan khususnya melibatkan sektor perdagangan antara negara sempadan malah peluang ini perlu digunakan sebaiknya oleh anak muda atau masyarakat setempat untuk mencari rezeki berfokus kepada sektor pelancongan.
“Pengusaha produk tempatan disarankan meningkatkan lagi tahap keluaran dan barangan yang dijual di Padang Besar ini bagi memastikan ia berkualiti dalam menarik minat pembeli untuk berkunjung semula ke sini.
“Setiap pengusaha juga perlu memastikan makanan bersih dan enak malah barangan yang dijual juga perlu setanding serta berpatutan terutamanya pada musim cuti umum mahupun persekolahan”, titah baginda.
Dalam perkembangan sama, Tuanku Syed Faizuddin turut menyeru agar seluruh rakyat negeri ini dapat mengambil peluang bagi meningkatkan pendapatan melalui segala kemudahan infrastruktur dan prasarana disediakan oleh pelbagai jabatan atau agensi.
Titah baginda, langkah ini dapat membantu pihak terlibat untuk menjana ekonomi dan meningkatkan taraf hidup masing-masing.-UTUSAN