KUALA LUMPUR: Penyanyi, Datuk Jamal Abdillah, 65, mengesahkan isterinya, Zai Izzati Khiruddin, 28, kini stabil selepas dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) akibat alahan teruk dan muntah-muntah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Jamal berkata keadaan isterinya mula menunjukkan perkembangan positif sejak semalam.
“Alhamdulillah, keadaannya hari ini beransur pulih. Malah, sebenarnya sejak semalam, kesihatannya menunjukkan perkembangan positif.
“Dia masih dirawat di IJN, mungkin petang ini dibenarkan pulang.
“Apa pun kami masih menunggu pengesahan doktor. Kita tengok sekitar pukul tiga atau empat petang nanti,” katanya menerusi pesanan suara di WhatsApp.
Zai Izzati, yang hamil anak kelima hasil perkongsian hidup dengan raja pop negara itu, sebelum ini dimasukkan ke sebuah hospital swasta selama lapan hari hari akibat masalah sama.
Namun, dia kemudian terpaksa dimasukkan pula ke IJN kerana masalah jantung bengkak yang berpunca daripada muntah-muntah kronik.
“Buat masa ini, doktor hanya berikan nasihat biasa sahaja,” kongsi Jamal lagi.
Pasangan itu berkahwin pada 1 April 2017. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan empat cahaya mata, Nur Azura Yamani, 5; El Isaac Yamani, 4; Iskandar Rayyan Yamani, 2, dan Rahil Laura Salsabila Yamani, 1.