Ibu bapa Zayn Rayyan didakwa pagi ini - Utusan Malaysia

Ibu bapa Zayn Rayyan didakwa pagi ini

Fahmi Abd. Moin (tengah),
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ibu dan bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, akan didakwa pagi ini.

Perkara itu disahkan peguam yang mewakili, Fahmi Abd. Moin.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan butiran pertuduhan melibatkan kedua-dua mereka.

Difahamkan, pasangan berusia 29 tahun itu akan didakwa di Mahkamah Petaling Jaya pagi ini.

Semalam, hanya ibu kepada Zayn Rayyan Abdul Matiin yang direman sejak 1 Jun lalu bagi membantu siasatan kes bunuh kanak-kanak autisme itu dibawa untuk merekodkan keterangan dan meninggalkan Kompleks Mahkamah di sini, pada 12.50 tengah hari hari ini.

Wanita berusia 29 tahun itu memakai baju lokap berwarna ungu, dikawal ketat pihak polis di lobi mahkamah sebelum dibawa masuk kenderaan agensi penguatkuasaan itu.

Difahamkan, ibu kanak-kanak itu dibawa ke mahkamah dengan menaiki van polis pada jam 10.30 pagi sebelum dibawa masuk mahkamah.

8 Jun lalu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, keterangan tidak konsisten antara faktor tempoh reman ibu bapa Zayn Rayyan, disambung.

Beliau dilaporkan berkata, pihaknya juga akan menggunakan tempoh itu untuk memuktamadkan segala isu berkaitan kes termasuk bukti fizikal dan lokasi kejadian.

“Terdapat perkara yang tidak konsisten yang perlu diselesaikan. Sebab itu kita perlukan enam hari lagi untuk siasatan lanjut dan menyelesaikan sebarang percanggahan sehingga kita berpuas hati dengan hasilnya,” katanya.

Jumaat lalu, Mahkamah Majistret Petaling Jaya membenarkan permohonan sambung reman terhadap ibu bapa Zayn Rayyan sehingga hari ini bagi membantu siasatan kes pembunuhan kanak-kanak itu selepas tempoh reman pertama selama tujuh hari tamat.

31 Mei lalu, polis menahan pasangan suami isteri berkenaan ditahan pada 10.05 pagi di Puncak Alam, Selangor bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kes pembunuhan Zayn Rayyan mengejutkan negara apabila mayatnya ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman Damansara Damai, Petaling Jaya dekat sini, kira-kira 36 jam dilaporkan hilang.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan badannya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN