Hatrik Assifuah bantu Kedah benam Bukit Tambun 5-0 - Utusan Malaysia

Hatrik Assifuah bantu Kedah benam Bukit Tambun 5-0

SONY Norde kini dalam radar kelab Indonesia, Malut United FC.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seperti dijangka, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) tidak berdepan masalah untuk melepasi halangan pertama Piala FA apabila mudah menjinakkan Kelab Liga A1 Semi Pro, Bukit Tambun FC (BTFC) 5-0 di Stadium Darul Aman, malam ini.

Sang Kenari menguasai perlawanan sejak minit pertama, namun ketumpulan jentera serangan menyaksikan beberapa hantaran lintang sayap lincah dari Uzbekistan, Sukhrob Nurulloev gagal disempurnakan.

Meskipun tiada percubaan tepat dihasilkan, penyerang dari Serbia, Milos Gordic akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-14 apabila dia melepaskan rembatan dari dalam kotak penalti untuk menghasilkan gol pertama Sang Kenari.

MILOS Gordic meraikan jaringan pembukaan Kedah dalam perlawanan Piala FA 2024 di Stadium Darul Anan, Alor Setar. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN

Gol itu seakan menjadi pembakar semangat anak-anak buah Nafuzi Zain untuk terus melancarkan serangan. Hasilnya, jaringan kedua hadir enam minit kemudian melalui rembatan leret Amirul Hisyam Awang Kechik, yang menewaskan penjaga gol pelawat, Nasrullah Abdul Aziz.

Stadium Darul Aman yang dipenuhi 5,400 penonton bergema lagi pada minit ke-27 apabila tandukan Milos menerjah jaring lawan. Namun gol itu dibatalkan setelah Milos dikesan dalam kedudukan ofsaid.

Di sebalik kehampaan itu, KDA terus mengganas memburu jaringan. Gol ketiga tuan rumah hadir menerusi tandukan penyerang dari Ghana, Ebenezer Assifuah yang meluru mendapatkan bola dari sepakan sudut dilakukan kapten, Sony Norde.  

Bersambung babak kedua, tuan rumah dikejutkan dengan jaringan pelawat pada minit ke-59. Jaringan pemain pertahanan BTFC, Abdul Qayyum Mohamed Jabrullah bagaimanapun dibatalkan setelah semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati dia dalam kedudukan ofsaid.

Kedah terus menggandakan asakan sehingga berjaya mendapatkan jaringan keempat menerusi Assifuah yang melarikan bola dari tengah padang secara solo sebelum melepaskan rembatan menerjah jaring untuk kedudukan 4-0.

Minit ke-77, KDA FC terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila pemain gantian, Mohd. Aiman Afif Afizul dilayangkan kad merah hanya beberapa minit setelah dimasukkan setelah mengasari Marcus Mah Yung Jian.

Tuan rumah tidak kendur dengan insiden itu apabila gol kelima mereka mereka hadir seminit kemudian melalui hatrik Assifuah yang mudah menolak masuk bola hantaran Shukrob ketika dia tidak dikawal dalam kotak penalti. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya