Hangat Seminggu: Boikot Bruno Mars, apa salah Siti, perang londeh aib - Utusan Malaysia

Hangat Seminggu: Boikot Bruno Mars, apa salah Siti, perang londeh aib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAMPAKNYA kedatangan penyanyi terkenal antarabangsa, Bruno Mars untuk konsertnya September nanti menimbulkan perbincangan hangat warganet di media sosial. Pada awalnya, ramai yang teruja dengan konsert itu sehinggalah tersebar sebuah keratan akhbar menunjukkan penyanyi itu pernah menyatakan cintanya terhadap Israel semasa konsertnya di Tel Aviv.

Maka, bermulalah gerakan untuk boikot konsert penyanyi Talking To The Moon itu dengan poster yang tertulis ‘Say No To Bruno’ dimuat naik pengguna media sosial. Bukan hanya warganet, golongan artis juga sudah mula bersuara dimulakan dengan kenyataan yang dikeluarkan Datuk Hattan secara lantang meminta orang ramai agar tidak menyokong persembahan artis pro-Israel.

Turut senada dengan Hattan ialah vokalis Wings, Datuk Awie yang menegaskan sebagai orang Islam, kita tidak boleh memberi muka kepada mana-mana artis yang menyokong pembantaian di Palestin. Katanya, kita juga tidak perlu gusar sekiranya impak boikot konsert itu akan memberi persepsi buruk kepada artis antarabangsa tersebut.

Manakala bagi penyanyi muda, Amir Masdi measihati masyarakat berhati-hati kerana gerakan Zionis sangat licik untuk menyebarkan pengaruh mereka menggunakan figura popular seperti ahli politik dan selebriti.

Apa salah Siti?

Selepas reda perbincangan mengenai isu Bruno Mars, sekali lagi nama Datuk Seri Siti Nurhaliza menjadi tular. Kali ini melibatkan pelantikannya sebagai pakar di Pusat Pendidikan Berterusan Pendidikan Universiti Malaya (UMCCed).

Walaupun pelantikan itu sudah dilakukan sejak tahun lalu, baru minggu ini kelayakkan Siti untuk menyumbang ilmu di pusat pengajian itu menjadi perbahasan.

Semuanya bermula daripada segelintir individu yang merasakan penyanyi dengan kelulusan akademik Sijil Pelajaran Malaysia itu tidak layak untuk bergelar pakar di samping memalukan imej kampus itu sebagai universiti terulung Malaysia.

Bagaimanapun, Siti enggan mengulas lanjut dan meminta semua pihak menunggu kenyataan yang akan dikeluarkan pihak UMCCed. Malangnya sehingga kini institusi pendidikan itu berdiam diri walaupun selepas dihubungi media.

Shuhada, Hafidz londeh aib

Antara perkara lain yang tular minggu ini sudah tentunya membabitkan pelakon, Hafidz Roshdi bersama bekas isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri. Ibarat episod drama beratus episod, kes pergaduhan mereka ini bagai tiada hujungnya.

Selepas mendakwa Hafidz culas membayar insurans dan yuran persekolahan anak, Shuhada mula menyebarkan mesej perbualan lucah pelakon itu bersama seorang perempuan yang dipercayai Athira Yuhada.

Tidak berdiam diri, Hafidz pun mula memuat naik kenyataan menafikan dan bukti resit kononnya tidak culas membayar nafkah. Namun begitu berapa jumlah yang diberikan tidak pula didedahkan.

Mengintai media sosial, ramai yang sudah letih dengan drama mereka dan muak apabila mereka saling melondehkan aib sesama sendiri. Warganet berharap agar mereka dapat mencari jalan penyelesaian terbaik di mahkamah. Sudah-sudahlah ya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya