Haji DIY dibincang dalam post mortem ibadah haji musim 1445H/2024M

Haji DIY dibincang dalam post mortem ibadah haji musim 1445H/2024M

MOHD. Na'im Mokhtar menyampaikan sijil penghargaan kepada penerima, Muhammad Yusof Jaafar pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2023 di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan akan memastikan rakyat Malaysia diberi kesedaran mencukupi sebelum menyertai ibadah haji secara sendirian atau DIY bagi mengelak sebarang isu keselamatan pada masa depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, aspek keselamatan haji DIY itu adalah antara perkara yang akan disentuh pada ‘post mortem’ ibadah haji musim 1445H/2024M nanti.

Beliau berkata, pihaknya mahu rakyat Malaysia ambil iktibar daripada insiden jemaah haji DIY dari beberapa negara termasuk Tunisia, Indonesia dan Mesir yang meninggal dunia di Tanah Suci akibat strok haba baru-baru ini.

“Kebanyakan kes kematian ini melibatkan jemaah yang memasuki Tanah Suci dengan visa umrah, tiada visa dan secara haram. Mereka ini paling ramai meninggal dunia akibat strok haba pada musim haji lalu.

“Secara dasarnya, kita (kerajaan) tidak boleh kawal haji DIY ini kerana ia di bawah kuasa kerajaan Arab Saudi,” katanya ketika ditemui pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2023 di sini, hari ini.

Katanya, aspek meningkatkan kesedaran itu penting bagi memberi jaminan kepada bakal haji supaya mereka sentiasa dilindungi jika berlaku apa-apa musibah termasuk tersesat atau ditimpa kecelakaan dan kematian.

Mohd Na’im berkata, terlalu banyak kebaikan dan kelebihan yang boleh dinikmati bakal haji jika mereka berdaftar dengan Tabung Haji (TH).

Menurutnya, setakat ini, pihaknya tidak menerima maklumat jemaah haji yang meninggal dunia akibat strok haba baru-baru ini terdiri daripada jemaah haji DIY dari Malaysia.

“Kita mahu rakyat Malaysia yang berhasrat menyertai jemaah haji DIY supaya mengambil iktibar di atas insiden strok haba yang menimpa jemaah beberapan negara lain baru-baru ini.

“Bila perkara ini berlaku (insiden kematian strok haba), tak kan kita nak duduk diam. Kita pun nak jaga kebajikan dan kepentingan rakyat Malaysia ini,” katanya.

Katanya, pada sesi post mortem nanti, pihaknya dan TH akan melihat segenap sudut termasuk aspek keselamatan selain meningkatkan kesedaran mengenai risiko proses ibadah haji DIY ini.

Media sebelum ini melaporkan lebih 1,300 jemaah haji meninggal dunia akibat cuaca panas melampau atau strok haba yang kebanyakannya terdiri daripada jemaah haji tidak berdaftar.

Sebelum ini, golongan agamawan bimbang ibadah haji DIY tidak dapat dilakukan dengan sempurna kerana kurang bimbingan serta tidak melalui pembelajaran yang sewajarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya