SERDANG: Kebolehpasaran graduan lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tidak dapat disangkal lagi kerana kompetensi dan pengetahuan yang dimiliki mereka.
Bercakap kepada Utusan Pelajar, Pengarah Institut Pertanian Serdang (IPS), Dee Noo Aiza Hayati Mohd Noh memberi contoh siswazah institusi pendidikan pertanian sering mendapat komen yang positif daripada majikan berbanding siswazah baharu lepasan universiti.
Katanya, majoriti majikan akan mengambil pelajar TVET sebagai pekerja tetap selepas menjalani latihan industri kerana berjaya mempraktikkan kemahiran yang diajar sepanjang tempoh pengajian.
“Jaminan kerja terletak pada pekerjaan itu sendiri, sekiranya pelajar dapat mengaplikasikan dan sesuaikan diri di alam pekerjaan itu memang kebanyakan majikan bukan kata diserap tapi memang akan ambil pelajar kita sebagai pekerja.
“Namun, masih lagi ada pihak industri yang memberi gaji kepada pelajar lepasan TVET secara tidak tetap, seolah-olah cuba melepaskan dari tanggungjawab,” katanya semasa di temui di Karnival Jom Masuk TVET dan Job Matching di IPS Serdang baru-baru ini.
Tambah Dee Noo Aiza, masih ada graduan IPS tidak mendapat pekerjaan yang tetap serta gaji yang diterima tidak setimpal sebagaimana yang disarankan oleh kerajaan iaitu sebanyak RM1,800.
Dalam pada itu, institut pertanian yang berada dibawah pemantaun Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) akan menjalani proses kemas kini bagi kursus-kursus yang ditawarkan setiap lima tahun supaya dapat melahirkan siswazah yang berkualiti.
“Kita akan menyusun semula dan buat tambah baik kerangka pembelajaran supaya pelajar boleh menggunakan kemahiran dan pengetahuan yang ada di tempat latihan industri, “ ujarnya. -UTUSAN