Golongan wanita terus berjaya dalam bidang perniagaan - Pemangku Raja Perlis - Utusan Malaysia

Golongan wanita terus berjaya dalam bidang perniagaan – Pemangku Raja Perlis

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyempurnakan majlis perasmian program WISE di Kangar, Perlis semalam.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Golongan wanita dalam era globalisasi semakin giat menceburkan diri dalam dunia keusahawanan dan telah berjaya dalam bidang perniagaan.

Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, hal demikian merupakan perkembangan positif dalam memberikan peluang untuk menjana pendapatan yang lumayan.

Baginda bertitah, kemajuan penglibatan golongan wanita dalam dunia keusahawanan dapat dibuktikan apabila lahirnya cukup banyak usahawan wanita yang mempelopori pelbagai bidang keusahawanan.

“Peranan dan kebolehan kaum wanita dalam dunia keusahawanan secara tidak langsung juga mewujudkan beberapa persatuan atau pertubuhan seperti Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dalam usaha untuk sama-sama memajukan usahawan Wanita dengan moto Women in Search of Excellence (WISE),” titah baginda ketika berkenan berangkat menyempurnakan majlis perasmian program WISE di sini semalam.

Program tersebut dianjurkan oleh Mara negeri Perlis dengan kerjasama Yayasan Tuanku Fauziah (YTF).

Keberangkatan tiba baginda diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Pengerusi YTF disambut oleh Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Zulfikri Osman.

Seterusnya Tuanku Syed Faizuddin turut menzahirkan agar cabaran dan persaingan dalam dunia perniagaan perlu dijadikan pembakar semangat bagi meningkatkan potensi dan kebolehan kaum wanita yang telah membuktikan bahawa perniagaan dalam dunia global hari ini mampu diterokai dan ditangani oleh kaum Wanita dengan jayanya sekali.

Sementara itu, Zulfikri dalam ucapan memaklumkan bahawa terdapat 3,222 usahawan dari negeri ini yang telah menerima manfaat hasil daripada skim pembiayaan, program latihan serta penyediaan premis perniagaan Mara daripada tahun 2021 sehingga 2024.

Katanya, Mara turut menyediakan sebanyak 342 lot ruang niaga daripada 7,281 premis yang tersedia di seluruh negara.

“Pada tahun 2024, Mara Perlis telah menerima dana pembiayaan perniagaan berjumlah hampir RM10 juta yang mensasarkan seramai 97 usahawan akan menerima manfaat ini.

“Setakat 31 Mei 2024, hampir RM7 juta telah diperuntukkan kepada 47 orang usahawan melalui skim pembiayaan seperti SPIM, SPIKE, PROSPEC, PUTEK, SPED-NANO, PUTRA dan Dana Nita. 22 orang usahawan daripada jumlah ini adalah golongan wanita,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya