KLANG: Mahkamah Sesyen di sini, memerintahkan pendakwaan 20 lelaki yang dituduh menjadi ahli kumpulan jenayah terancang, Geng TR dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Hakim Ahmad Faizadh Yahaya mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes yang dihadapi semua tertuduh.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Lina Hanini Ismail berkata, permohonan itu dibuat mengikut Seksyen 177A (1) Kanun Tatacara Jenayah.
“Prosiding hari ini ditetapkan bagi sebutan kes dan mendapatkan izin mengikut seksyen berkenaan bagi kesemua tertuduh. Pendakwaan memohon kes tersebut dipindahkan ke mahkamah tinggi,” katanya.
Sembilan peguam yang mewakili 16 tertuduh tidak membuat sebarang bantahan. Namun, tarikh untuk kes itu disebut bagi perbicaraan di mahkamah tinggi belum diputuskan.
Pada 29 Mei lalu, semua 20 lelaki itu dihadapkan ke mahkamah sama atas pertuduhan menjadi ahli Geng TR sejak lima tahun lalu.
Namun, tiada pengakuan direkodkan kerana kesalahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mereka iaitu N. Nithiyan, 39; S. Logan, 32; P. Parthipan, 32; M. Keshava Nair, 30; A. Balamurugan, 40; V.S. Wilbert, 46; M. Ramakrishnan, 45; R. E. Mohan, 34; M. Thanasekaran, 44, dan Edward Liew, 49.
Turut didakwa, S. Manoraj, 28; M. Amaran, 30; S. Hemanathan, 31; K. Thana Seelan; 38;
K. Ravishankar, 43; Muhammad Razi Abdullah, 51; G. Deeneskumar, 29; K. Venaigaraj, 32; A. Kogilan, 26, dan M. Tineshkumar, 26.
Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa menjadi ahli Geng TR di sebuah restoran di Sungai Janggut, Jeram, Kuala Selangor antara November 2019 hingga 2 Mei lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, kesemua tertuduh yang rata-ratanya berbaju T putih di mahkamah itu dengan menaiki trak polis dan dikawal ketat sepasukan anggota bertugas, kira-kira pukul 9 pagi.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain sebelum ini memaklumkan polis menahan 21 individu disyaki terlibat dengan kumpulan kongsi gelap menerusi Op Lima yang dijalankan pada 3 Mei lalu di sekitar Selangor, Johor dan Pahang.
Siasatan mendapati mereka yang menjadi ahli kumpulan itu aktif dalam pelbagai kegiatan jenayah seperti pembunuhan, pemerasan, pengedaran dadah dan khianat dengan api sejak 2019. – UTUSAN