Gangguan mistik, gempa bumi cabaran hasilkan Paku Tanah Jawa - Utusan Malaysia

Gangguan mistik, gempa bumi cabaran hasilkan Paku Tanah Jawa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Berdepan bencana alam gempa bumi dan gangguan mistik merupakan antara cabaran besar yang harus ditempuhi produksi filem Paku Tanah Jawa ketika penggambaran Mei tahun lalu.

Penerbit Eksekutif Armani Entertainment Sdn Bhd, Datuk KK Chua berkata, penggambaran yang berlangsung selama 14 hari di kawasan hutan yang terletak di Kota Jogjakarta itu tetap berjalan seperti biasa walaupun berdepan pelbagai masalah.

“Paku Tanah Jawa merupkan filem seram mistik dan ternyata, ketika penggambaran kami berdepan dengan kejaidan misteri. Sudah tentu ada unsur-unsur mistik yang berlaku. Namun, penggambaran tetap berjalan seperti biasa.

“Lagipun, ada babak-babak ritual yang dilakonkan tanpa menggunakan bantuan teknologi, tambahan pula kebanyakan penggambaran dilakukan di dalam hutan dan gua, jadi memang wujud gangguan seperti itu,” jelasnya.

Paku Tanah Jawa diangkat daripada salah satu kisah mengenai seorang gadis yang dipandang serong masyarakat setempat.

Persepsi negatif itu berpunca daripada ibu gadis tersebut yang dikatakan telah mengorbankan ramai lelaki demi memenuhi syarat ritual sebuah ajaran sesat yang dianutinya.

Dalam pada itu, KK Chua berkata, idea untuk menerbitkan filem tersebut timbul setelah mengetahui kisah-kisah misteri dalam kalangan masyarakat yang menghuni di kawasan Gunung Tidar.

“Saya tertarik dengan kisah urban legenda yang diceritakan sehingga ia memberi inspirasi buat saya untuk menerbitkan sebuah naskhah seram.

“Apa yang menariknya, Paku Tanah Jawa bukan sekadar filem mistik semata-mata, malah turut mengangkat budaya Sinden dan Sugihan yang cukup popular dalam kalangan masyarakat Jawa.

“Selain genre seram antara yang menjadi kegemaran penonton, saya percaya penonton akan tertarik dengan jalan cerita yang dipaparkan,” ujarnya.

Untuk info, filem arahan Bambang Drias dan KK Chua itu dibintangi barisan pelakon popular seperti Masayu Anastasia, Gisellma Firmansyah, MK K-Clique, Hasif Upin dan Wafda Saifan Lubis.

Filem yang sudah ditayangkan di Indoensia itu mendapat sambutan sangat memberangsakang dengan berjaya mengutip RM6.45 juta.

Paku Tanah Jawa akan mula menemui penonton apabila ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 27 Jun depan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN