Finas, Alhijrah semeja bincang isu Dharma minggu hadapan - Utusan Malaysia

Finas, Alhijrah semeja bincang isu Dharma minggu hadapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bakal bertemu stesen penyiaran, TVAlhijrah bagi membincangkan isu hak cipta penerbitan rancangan terbitan pelakon veteran, Dharma Harun Al-Rashid, minggu hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, dalam pertemuan itu nanti, mereka akan mencari jalan terbaik agar hak cipta program Deko Ibadah yang ditayangkan pada 2022 boleh dibeli oleh stesen penyiaran itu.

“Saya sudah hubungi pihak AlHijrah sebentar tadi. Insya-Allah minggu hadapan kami akan bertemu Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris.

“Bila sudah dapat tarikh, kami akan maklumkan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menurut Azmir lagi, selain Alhijrah, Finas bakal mengatur pertemuan dengan beberapa stesen penyiaran lain bagi mencari kaedah agar hak cipta penerbitan program-program yang pernah dibiayai Finas boleh dibeli dengan lancar.

Terdahulu, pada 2021, Finas telah memberikan sejumlah dana di bawah program Pelan Langkah Segera Ekonomi Industri Kreatif (PELAKSANA) kepada 65 buah syarikat produksi.

Dana tersebut diberikan bagi membantu industri kreatif yang terjejas akibat penularan pandemik Covid-19.

Sebelum ini, Dharma mendedahkan sudah enam bulan pihaknya gagal mendapatkan penjelasan mengenai pembatalan perjanjian program terbitannya di sebuah stesen TV.

Dharma mendakwa, syarikat penyiaran enggan memberikan kerjasama walaupun menandatangani kontrak membeli hak cipta program ‘Deko Ibadah’ bernilai RM312,000.

Susulan itu, Dharma mengakui mengalami masalah kewangan sehingga menerima notis keluar rumah akibat gagal membayar tunggakan sewa.

Bagaimanapun, TVAlhijrah menafikan menandatangani atau mengeluarkan kontrak pembelian dan hanya menyiarkan program berkenaan sesuai perjanjiannya dengan Finas sebagai pembeli dana.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya