SHAH ALAM: Setelah lebih sebulan tidak keluar di khayalak, pemain sayap Selangor FC dan Malaysia, Faisal Halim dalam sidang akhbar di Pusat Latihan Selangor FC, di sini hari ini.
Faisal yang berpakaian kemeja Selangor FC dan bertopi ditemani Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar hadir ke pusat itu kira-kira pukul 2.30 petang.
Kehadiran pemain yang menerima jolokan Mickey itu adalah bagi memaklumkan perkembangan terkini dirinya selepas diserang asid sulfurik pekat oleh dua individu tidak dikenali di sebuah pusat membeli-belah di Kota Damansara, awal Mei lalu.
Dalam sidang akhbar itu, Faisal mengakui dia mengiggil dan meronta mahu bermain bola namun terpaksa memendam hasrat terbabit kerana perlu memberi peluang dan ruang kepada proses rawatan dalam tempoh terdekat ini.
“Saya amat rindukan bola sepak dan mahu bermain dan berlatih. Saya harus fokus kepada pemulihan dan rehabilisasi.
“Apabila berada di rumah dan sekadar menonton rakan-rakan di Selangor dan Harimau Malaya bermain, kaki menggigil hati meronta untuk bermain.
“Namun buat masa sekarang fokus utama adalah proses pemulihan sebelum boleh kembali menyertai pasukan seperti sebelum ini, saya harap semua pihak dapat mendoakan saya,” katanya pada sidang akhbar khas di Pusat Latihan Selangor FC, di sini hari ini. – UTUSAN