SEPANJANG dua dekad ini, industri muzik sebenarnya masih lagi sukar untuk penyanyi bernama, Bob Yusof.
Tafsiran ‘sukar’ itu adalah bagaimana dia menjentik hati dan telinga pendengar supaya terus mendengar lagu-lagu dendangannya.
Kita mungkin sudah terbiasa mendengar dua karya agung Bob iaitu Cinta Seorang Teman (Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan) dan Cinta Terhalang (Sharon Paul).
Seberapa banyak pun single Bob hasilkan selepas itu, ia tidak lagi ke mana-mana dalam pasaran muzik hari ini.
Perhatian orang ramai hanya tertumpu kepada suara ‘lemak’ dan mahal Bob, jika dia bertanding atau menjadi penyanyi undangan di pentas berprestij seperti Gegar Vaganza (GV) dan penyanyi gantian di Anugerah Juara Lagu (AJL).
Bagaimanapun, kelebihan itu tidak terpancar kepada apa jua naskhah diketengahkan Bob yang membawa kepada kegagalan beberapa single selepas menerbitkan album tunggalnya, Hantaran Hati (2006) di bawah Maestro Records.
Pun begitu, Bob tidak pernah berputus asa dan kali ini memberi satu lagi taruhan balada berjudul Enigma (Ikhwan Fatanna/Wan Salleh).
Apa yang Bob mahu buktikan? Sebenarnya, tidak banyak pembaharuan pun kerana Bob masih berlegar dalam skop balada yang merupakan fortenya selama 20 tahun ini.
Tetapi, jangan salah faham, saya bercakap soal ini dalam nada yang positif. Vokal Bob, lebih daripada sebati menyanyikan lagu-lagu balada.
Untuk dia keluar daripada ruang itu dan mencuba sesuatu yang baharu amat sukar. Jika diteruskan, saya bimbang, arah bermuziknya semakin jauh tersasar.
Di akhirnya, tiada siapa sudi mendengar lagu dihasilkannya.
VOKAL
Tiada apa lagi saya boleh ulas selain Bob mempunyai kawalan dan julat vokal yang sangat baik.
Kelebihan ini terpakai sama ada dia berada di dalam studio rakaman atau menyanyi secara langsung.
Menerusi Enigma, Ikhwan bagi saya berjaya membawa Bob di atas jalur muzik balada yang sepatutnya.
Penjiwaan lagu yang bersifat galau ini melarutkan emosi pendengar dengan suara latar yang mengiringi alunannya.
Tidak seperti single lemah dan longgar Terbuang Dalam Pelukan (2018), Dan Hari Ini (2020) serta Beribu Rasa (2021), yang terus meletakkan Bob dalam jurang lautan paling dalam hingga tiada siapa tertarik dengan naskhah seperti ini.
Walaupun Enigma terhasil dalam format balada seperti yang ada dalam pasaran hari ini, ia adalah contoh produk yang sebenarnya boleh dipertanding di peringkat lebih tinggi.
Bob juga selayaknya memiliki material sendiri yang boleh membawanya lebih jauh dan tidak hanya terikat kepada irama Melayu asli di AJL atau acara-acara hiburan.
Sebab itu, saya percaya, Enigma mampu mendorong Bob semula di landasan yang sebenar.
Sampai bila kita terus melihat Bob terkenal di sebalik lagu milik penyanyi lain? Sampai bila Bob terus menjadi penyanyi gantian di AJL selepas Kasih Tercipta dan Anta Permana?
Jika rupa paraslah yang menjadi ukuran kejayaan seseorang penyanyi, ini tidak adil untuk penyanyi berbakat besar seperti Bob yang lahir menerusi program Akademi Fantasia Musim 2 (AF2) ini.
Menafikan bakat penyanyi seperti Bob hanya membuka jalan kepada lebih ramai pempengaruh atau ahli perniagaan bersuara sumbang dan tidak berilmu yang mengambil alih posisi penyanyi asli, sekali gus memporakperandakan industri muzik negara.