SETIU: Enam mangsa hampir lemas setelah dihanyutkan arus deras dalam kejadian kepala air di Lata Changkah, di sini, petang semalam.
Salah seorang mangsa, Siti Alia Aisha Mohd Afandi, 30, berkata, kejadian cemas itu berlaku kira-kira pukul 4.30 petang ketika dia bersama ahli keluarga dari Kota Baru, Kelantan datang berkelah di Lata Changkah tersebut.
“Sebelum kejadian kepala air, saya bersama dua anak lelaki berusia 2 dan 7 tahun serta adik perempuan, 17, berada di seberang sungai, ketika kami bermain air secara tiba-tiba saya dengar anak saudara yang berada di darat menjerit memanggil kami naik.
“Waktu itu saya lihat orang ramai yang turut mandi manda beransur naik dan ketika saya ingin menyeberangi sungai saya lihat banyak sampah mula dihanyutkan dan kejadian kepala air itu berlaku sekelip mata,” katanya ketika ditemui di Lata Changkah, di sini, semalam.
Siti Alia Aisha berkata, bagaimanapun anak keduanya berusia 2 tahun berjaya diselamatkan oleh seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang kebetulan berada di lokasi kejadian.
Tambahnya lagi, dia dan seorang lagi anak lelakinya yang berusia 7 tahun serta adiknya telah dihanyutkan arus sejauh lima meter sebelum diselamatkan orang ramai.
“Alhamdulillah kami semua selamat walaupun saya sendiri hampir lemas manakala anak sulung serta adik saya sempat berpaut pada pelampung sebelum diselamatkan orang ramai,” katanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Setiu, Asisten Superintenden (ASP) Burhanuddin Mustafa berkata, kejadian kepala air di Lata Changkah, di Hulu Seladang menyebabkan enam mangsa terperangkap namun kesemuanya berjaya diselamatkan.
“Antara enam mangsa ini tiga daripadanya berusia 7 hingga 30 tahun adalah satu keluarga manakala tiga sekawan berusia 20 hingga 22 tahun turut mengalami nasib yang serupa di kawasan dan masa yang sama.
“Bagaimana kesemua mereka berjaya diselamatkan dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya. – UTUSAN