Ekosistem startup di Kuala Lumpur jana lebih RM220 bilion - Utusan Malaysia

Ekosistem startup di Kuala Lumpur jana lebih RM220 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ekosistem syarikat pemula Kuala Lumpur menjana pendapatan lebih RM220 bilion dalam tempoh tiga tahun dari 1 Julai 2021 hingga 31 Disember 2023.

Ekosistem syarikat pemula di bandar itu turut ditempatkan dalam kedudukan 30 terbaik bagi ekosistem membangun, menurut Laporan Ekosistem Startup Global (GSER) 2024.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, nilai ekosistem dan pencapaian Kuala Lumpur membuktikan tumpuan negara dalam melabur dan membangunkan ekosistem startup teknologi.

“Menyedari perkara ini, saya ingin mengiktiraf peranan dan impak semua agensi, kementerian, dan organisasi yang terlibat melalui platform Tetingkap Tunggal MYStartup yang baru dilancarkan.

“MOSTI akan terus menerajui usaha ini untuk merealisasikan visi kami dalam menjadikan ekosistem startup Malaysia dalam kedudukan 20 terbaik menjelang 2030 seperti yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER) 2021-2030,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Norman Matthieu Vanhaecke berkata, Malaysia telah mengiktiraf peranan startup dalam memacu inovasi tempatan
dan kemajuan teknologi.

Norman Matthieu Vanhaecke

“Cradle berusaha untuk menggabungkan sumber dan pengalaman semua pihak berkepentingan dalam ekosistem.

“Dengan komitmen yang berterusan dalam membentuk sebuah ekosistem yang berprestasi tinggi, inklusif, global dan mampan, Cradle akan terus berusaha untuk meletakkan Malaysia di
barisan hadapan ekosistem startup di peringkat global,” katanya.

Dalam laporan GSER 2024, ekosistem Kuala Lumpur juga telah tersenarai antara kumpulan terbaik dalam beberapa bidang utama di Asia:

* Kedudukan 15 terbaik Ekosistem Asia dalam Pendanaan: Pencapaian ini menggambarkan kapasiti inovasi Kuala Lumpur melalui pendanaan peringkat awal yang kukuh dan penyertaan aktif pelabur.

* Kedudukan 20 terbaik Ekosistem Asia dalam Prestasi: Pencapaian ini mencerminkan saiz dan kejayaan keseluruhan ekosistem, dengan mempertimbangkan nilai kumulatif yang dicipta oleh startup teknologi melalui exit dan pendanaan.
* Kedudukan 20 terbaik Ekosistem Asia dalam Bakat dan Pengalaman: Kedudukan ini mengiktiraf trend jangka panjang yang kukuh di Kuala Lumpur, menunjukkan kedalaman bakat dan pengalaman dalam ekosistem.

* Kedudukan 25 terbaik Ekosistem Asia dalam akses kepada pemilikan bakat secara kos efektif: Kategori ini mengukur keupayaan Kuala Lumpur dalam menarik bakat teknologi secara kos efektif dan menekankan kelebihan kompetitifnya dalam membina tenaga kerja yang mahir.

* Kedudukan 30 terbaik Ekosistem Asia dalam kategori “Bang for Buck”: Kedudukan ini mengukur jumlah runway yang diperoleh startup teknologi, secara purata, daripada satu pusingan VC.

* Bakat berkualiti dan kemudahan dalam menjalankan perniagaan merupakan antara faktor tarikan bagi startup untuk berpindah ke ekosistem ini.

GSER 2024 menganalisis data lebih daripada 4.5 juta startup merangkumi 300 ekosistem global serta menyediakan trend global dan panduan dasar kepada lebih 160 kementerian yang melibatkan ekonomi dan inovasi serta agensi awam serta swasta di lebih 55 negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya