Berjalan kaki meredah laluan tanah merah dan menaiki bot atau perahu ke sekolah sudah menjadi rutin murid yang tinggal di pedalaman Sabah termasuklah Pitas.
Dari dahulu hingga sekarang keadaan yang dilalui penduduk di empat kampung di Pitas kekal sama.
Murid yang tinggal di Kampung Bilangau Besar, Kampung Sapatalang, Kampung Salung Kapit dan Kampung Mandurian masih perlu berjalan kaki dan ada yang terpaksa menaiki bot untuk ke sekolah setiap hari.
Ketika ini, terdapat kira-kira 20 murid yang terpaksa meredah laluan tanah merah selama sejam dari Kampung Bilangau Besar ke Sekolah Kebangsaan (SK) Dandun, Pitas setiap hari.
Bercakap kepada Utusan Pelajar, Ketua Adat Kampung Bilangau Besar, Edward Upak, 53, berkata, biarpun kerajaan silih berganti namun, rutin harian penduduk untuk ke sekolah masih sama seperti dahulu.
Bezanya dahulu kebanyakan murid menaiki bot tambang tetapi sekarang, kebanyakan keluarga sudah memiliki bot sendiri jadi, tiada lagi yang perlu menaiki bot tambang.
Katanya, setiap kali pilihan raya, semua calon menjanjikan untuk menaik taraf jalan raya kepada jalan berturap namun, apabila sudah menang, semua janji tidak dikota.
“Jalan kampung-kampung di sini macam baru roket terbang… berlubang sana sini. Sudah berpuluh tahun keadaan begini.
“Saya lihat memang tiada perubahan sejak saya bersekolah pun begini. Kalau dalam lirik lagu Indonesia Aku Masih Seperti Yang Dulu, begitulah keadaan dialami oleh ibu bapa di empat kampung ini,” katanya.
Murid yang tinggal di Kampung Mandurian masih lagi perlu menaiki bot kerana tiada akses jalan raya untuk ke kampung mereka.
Biarpun kebanyakan keluarga memiliki bot sendiri namun, mereka masih perlu berbelanja membeli diesel untuk menggerakkan bot setiap hari.
Sekiranya tiada wang untuk membeli minyak petrol atau diesel maka, anak-anak mereka tidak dapat bersekolah untuk hari tersebut.
Menurut beliau, jarak empat kampung tersebut dari Pekan Pitas tidak jauh hanya lapan hingga 12 kilometer sahaja namun, keadaan jalan yang masih belum berturap mendatangkan kesukaran kepada anak-anak yang perlu berjalan kaki ke sekolah.
Edward berkata, sejak insiden murid SK Dandun terpaksa menaiki bot akibat jambatan gantung terputus pada 2022 tular, pembaikan jambatan telah dilakukan namun masih belum ada usaha untuk menaik taraf jalan.
Keadaan sama turut dilalui penduduk Kampung Buayan, Penampang yang masih lagi bergantung kepada laluan tanah merah.
Kampung ini hanya boleh diakses menggunakan kenderaan pacuan empat roda kerana laluannya yang mencabar terutama semasa musim hujan.
Penolong Kanan (Hal Ehwan Murid) SK Buayan, Zeabenia Mositol,50, berkata, kebanyakan murid di sekolah itu perlu berjalan kaki selama sejam hingga dua jam meredah anak sungai dan hutan belantara untuk ke sekolah.
Mengambil kira kedudukan rumah yang jauh dari sekolah, semua murid dikehendaki tinggal di asrama dan hanya dibenarkan pulang dua kali dalam tempoh sebulan. Laluan tanah merah memberi kesukaran kepada penduduk kampung mahupun orang luar untuk masuk ke Kampung Buayan serta kampung-kampung yang berhampiran. –UTUSAN