Dua saintis muda wakili Malaysia ke mesyuarat Nobel Laureate Ke-73

Dua saintis muda wakili Malaysia ke mesyuarat Nobel Laureate Ke-73

Nur Alia Sheh Omar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua saintis muda akan mewakili Malaysia ke Mesyuarat Nobel Laureate ke-73 yang didedikasikan untuk Fizik di Lindau, Jerman bermula 30 Jun hingga 5 Julai 2024.

Nur Alia Sheh Omar, 33, dan Tang Jia Heak, 21, akan menyertai lebih 600 saintis muda cemerlang lain dari 90 buah negara dan akan berinteraksi serta bertemu dengan sekurang-kurangnya 30 Pemenang Anugerah Nobel.

Nur Alia merupakan Felo Penyelidik di Aston University, United Kingdom. Beliau telah menamatkan Ijazah Sarjana Muda Fizik dan Ijazah Sarjana Sains Bahan Lanjutan diikuti dengan PhD dalam Teknologi Penderiaan di Universiti Putra Malaysia.

Bidang  keutamaan beliau termasuk penderiaan optik resonans plasmon, nanomaterial sisa buangan dan sintesis hijau.

“Saya amat berbangga dan bersyukur kerana dipilih untuk mewakili Malaysia dan Aston University, United Kingdom untuk ke Mesyuarat Nobel Laureate Lindau.

“Saya amat teruja untuk bertemu dan belajar daripada Pemenang Anugerah Nobel dalam bidang Fizik serta saintis muda dari seluruh dunia. Saya berharap dapat meluaskan pandangan serta pengetahuan dan pulang dengan inspirasi dan idea baharu!” kata Nur Alia.

Jia Heak, yang ketika ini sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda Fizik di Universiti Malaya, sangat bersemangat dalam mendalami perkembangan fizik dan beliau telah menunjukkan pengetahuan asas yang tinggi serta berpandangan jauh dalam menangani cabaran pada masa hadapan dalam penyelidikan fizik.

Teruja untuk menghadiri program berkenaan, beliau berkata, “Saya amat teruja dengan peluang keemasan ini. Sebagai seorang mahasiswa, saya perlu memanfaatkan peluang ini untuk meluaskan pandangan saya dan mempelajari topik-topik lanjutan di Mesyuarat Nobel Laureate Lindau. Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ASM kerana merealisasikan perjalanan saya ke Jerman”.

Sejak 2004, Malaysia telah menghantar 86 saintis muda, termasuk wakil pada tahun ini, ke Mesyuarat Nobel Laureate Lindau menerusi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Akademi Sains Malaysia (ASM).

“Penyertaan wakil Malaysia dalam inisiatif sains dan teknologi di peringkat global adalah penting, bukan sahaja untuk meningkatkan kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa, tetapi juga dapat membawa pulang amalan dan pemahaman terkini ke Malaysia. Ini membolehkan kita memperkasa kebolehan tempatan dan menjadikan Malaysia sebagai negara de ngan ekonomi berasaskan pengetahuan, penting bagi pertumbuhan yang lebih berdaya saing dan mampan,” ulas Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.

Presiden ASM, Academician Datuk Dr .Tengku Mohd Azzman Shariffadeen berkata, inspirasi dan motivasi yang diperoleh daripada mesyuarat ini dijangka memberi impak mendalam kepada peserta.

“Peluang untuk bertemu dengan saintis terkemuka dapat membantu dalam membina rangkaian pengetahuan di peringkat global yang dapat meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara berwibawa.

“Dengan menyertai program seperti ini, saintis muda kita dapat menjadi rakan kongsi yang disegani dalam program kajian terkemuka di seluruh dunia.

“ASM berharap program ini akan memberi kesan positif yang berkekalan kepada para peserta dimana mereka mampu menangani isu kritikal dan seterusnya memperbaiki kualiti hidup masyarakat melalui kemajuan sains dan teknologi,” katanya.

Pada Oktober 2023, Jawatankuasa Pemilihan ASM untuk Mesyuarat Nobel Laureate ke-73 telah mengadakan sesi temuduga bagi menilai pemohon untuk tahun ini.

Tiga belas calon telah disenarai pendek dan disokong oleh Jawatankuasa Pemandu Anugerah dan dua wakil telah dipilih bagi mewakili Malaysia.

Mesyuarat Nobel Laureate ke-73 akan memberi tumpuan kepada tiga tema utama: fizik kuantum dan teknologi kuantum, penyelesaian berasaskan fizik untuk cabaran tenaga dan kecerdasan buatan dalam fizik.

Mesyuarat ini bakal menawarkan peluang unik kepada kesemua saintis di peringkat awal kerjaya yang cemerlang untuk membentangkan penyelidikan mereka, saling bertukar pengalaman dan idea serta mendapatkan inspirasi daripada rakan sebaya dan Pemenang Anugerah Nobel. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN