ARAU: Kehilangan seorang warga emas berusia 60 tahun selepas dikatakan keluar dari rumah suaminya di Kampung Katong, Pauh di sini terus menjadi tanda-tanya apabila belum ditemukan selepas seminggu dilaporkan hilang.
Meskipun usaha mencari Rokiah Ja’afar,60, terus giat dilakukan termasuk daripada ahli keluarga namun ia terus buntu apabila tidak ada sebarang petanda setakat ini.
Kehilangan tersebut ternyata mencetus kebimbangan ahli keluarga, malah adik Rokiah, Rohani Jaafar,44, dan ahli keluarga yang lain sehingga hari ini masih berada dalam keadaan kesedihan mengenangkan nasib kakak kesayangannya itu.
Rohani berkata, kakaknya itu dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah suaminya pada 23 Jun lalu sebelum mereka membuat laporan polis mengenai kehilangan tersebut pada hari sama.
Katanya, dia dan kakaknya tinggal bersama di Kampung Guring Bawah di sini sejak sekian lama sebelum kakak berpindah mengikut suami selepas mereka berkahwin pada Mac lalu.
Ujarnya, kakaknya seorang yang sangat baik dan pendiam dengan sebelum ini kerjanya hanya membuat kerisik di rumah mereka.
“Sebagai adik bongsu, hubungan saya dengan kakak yang dianggap sebagai mak cukup rapat sejak kecil lagi sebelum kakak berpindah mengikut suami. Kakak tidak pernah melarikan diri dari rumah sebelum ini, kerana rutin hariannya hanya membuat kerisik untuk dijual.
“Sudah banyak kawasan sama ada hutan, sungai dan lokasi sekitar kami cari namun masih menemukan jalan buntu. Kami sekeluaga serta adik beradik lain sudah buntu tidak tahu lagi di mana untuk mencari kakak.
“Sekarang ini, setiap malam saya tidak dapat tidur lena, menangis dan tidak berselera makan kerana risau dengan keadaan kakak yang masih belum dijumpai sehingga kini. Saya harap kakak dapat ditemukan dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Sementara itu, suami Rohani, Zunizam Ismail,45, berharap operasi pencarian kakak iparnya itu oleh pihak berkuasa terus diperluaskan selain ahli keluarga, penduduk kampung juga berusaha untuk terus mencari.
“Kami juga akan terus berikhtiar untuk mencari kakak dan berharap dapat ditemukan dengan segera kerana bimbang jika berlaku sesuatu perkara tidak diingini,” katanya.
Sesiapa yang menemukan warga emas itu boleh menghubungi Rohani di talian 012-5999640 atau Zunizam di talian 017-3745325.-UTUSAN