Dengar ratusan lagu, Azharina terpaut pada Realiti - Utusan Malaysia

Dengar ratusan lagu, Azharina terpaut pada Realiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penantian lapan tahun penyanyi Azharina Azhar untuk tampil dengan sebuah single bergenre hip hop, ternoktah.

Hasratnya kesampaian, penyanyi berusia 39 tahun ini kembali menerusi lagu Realiti, sekali gus mengubat rindu peminat yang lama menunggu lagu baharu daripada penyanyi bersuara emas ini.

Realiti menyaksikan kolaborasi sulung Azharina dengan penyanyi rap, komposer dan penulis lirik, Kozae, Luca Sickta, Trigga dan Pasha.

Lagu ini bukan sekadar karya, sebaliknya sebuah eksperimentasi yang membawa hala tuju muzik Azharina ke tahap yang lebih tinggi.

Ia juga pengertian yang cukup besar buat penyanyi kelahiran negeri di bawah bayu ini. Realiti menjadi penanda aras, menyaksikan Azharina keluar zon selesa, sementelah sebelum ini sering dia bawakan lagu-lagu berentak balada.

Menerusi Realiti juga, juara Gegar Vaganza musim ke-3 ini hadir mempersembahkan pembaharuan, tidak lagi dia mahu terperangkap di takuk lama.

“Selepas 23 tahun pembabitan dalam dunia seni, saya keluar dengan sebuah material yang paling ikhlas dan jujur. Proses pencarian (lagu) bukan sekejap, malah mengambil lapan tahun.

“Sampaikan pada satu tahap, selepas menjayakan konsert di Australia pada tahun 2022, beratus lagu saya dengar untuk jadikan single saya yang seterusnya.

“Tapi hati saya terpaut sebaik sahaja mendengar lagu ini. Saya katakan pada Kozae, saya mahukannya. Tapi tidak semudah itu saya mendapatkannya. Puas saya memujuknya, hanya selepas satu tahun Kozae beri kepercayaan kepada saya untuk bawakannya.

“Dia saudara saya, tapi ini pertama kali kami berduet dalam lagu. Jadi kali ini, kami ingin meraikannya,” kata Azharina ketika pelancaran Realiti baru-baru ini.

KELUAR ZON SELESA
Tidak semua penyanyi sesuai membawakan lagu hip hop. Tapi Azharina membuktikan kemampuan. Selain mencabar kebolehan, Realiti juga mencipta dimensi Azharina yang berbeza.

“Saya ini penyanyi independent, jadi untuk menghasilkan karya bukan satu perkara yang mudah buat saya. Tapi kali ini, kalau mahu tampil dengan lagu baharu, biarlah yang berbeza, yang membawa saya keluar dari zon selesa.

“Sebagai penyanyi, hala tuju karier saya perlu berkembang. Kalau saya tak keluar dari kepompong, maka tak ke manalah saya.

“Apa pun saya bersyukur dengan reaksi peminat terhadap lagu ini. Walau pun setakat ini hanya menerima 11,000 tontonan di Youtube, saya tetap bersyukur. Rata-rata pendengar memberi maklum balas positif,” kongsinya lagi.

Dalam pada itu, Kozae atau nama sebenarnya Mohamed Fareezan Mohamed Murtaza mengakui bukan mudah menyerahkan kepada mana-mana penyanyi untuk membawa lagu berkenaan.

Katanya disebabkan itu, dia mengambil masa yang agak lama untuk membuat keputusan sebelum memberi keizinan kepada Azharina untuk membawakan lagu tersebut.
“Lagu ini sebenarnya sudah lama dihasilkan, lebih kurang tiga tahun tempohnya. Satu tahun saya ‘membisu’ selepas Azharina minta lagu ini dari saya, bukan apa, saya fikirkan, mampu atau tidak dia bawa genre ini.

“Apa pun prosesnya ‘makan masa’. Kami tukar strukturnya untuk sesuaikan dengan penyanyi. Namun, apa boleh saya kata, senang bekerja dengan Azharina. Sebagai komposer, saya nampak kebolehannya.

“Dan kami juga serasi, pernah sebelum ini satu pentas dalam GV. Saya anggap Realiti sebagai eksperimentasi yang bagus untuk saya,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya