KUANTAN: Hadiah wang tunai lebih RM53,000.00 menanti pemenang pertandingan memancing Cuti-Cuti Malaysia Surfcasting Tour – A Journey To VM2026, di sini pada 23 Jun ini.
Juara pertandingan akan membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000, naib juara menerima RM4,000 dan ketiga RM1,000. Pemenang keempat menerima RM500, kelima hingga kesepuluh (RM300) manakala ke-11 hingga 150 menerima RM180.
Pertandingan anjuran Wakjali Event Management ini yang disokong Tourism Malaysia, akan berlangsung dari pukul 9 pagi hingga pukul 1 tengahari.
Kaunter pendaftaran dibuka di lokasi pertandingan bermula jam 3.00 petang Sabtu hingga 12.00 malam dan bersambung pada jam 7.00 pagi Ahad hingga pertandingan dimulakan.
Jurucakap penganjur, Md Zali Kasran berkata, pertandingan itu adalah bagi menyokong usaha kerajaan dalam merancakkan pelancongan domestik menerusi tema Cuti-Cuti Malaysia yang didukung oleh Tourism Malaysia.
“Pertandingan ini dijangka membantu industri pelancongan domestik dengan pergerakan peserta dari negeri seluruh Semenanjung bagi menyertai acara ini.
“Selain memancing, peserta yang hadir bersama keluarga untuk bercuti di pusat pelancongan popular itu, turut menyumbang kepada kerancakan ekonomi setempat khususnya dalam sektor makanan dan perhotelan,’’ katanya.
Beliau berkata Pantai Sepat kaya dengan pelbagai spesies ikan bergred A seperti pari, ebek, gerong belang, todak dan lain-lain.
Katanya, penganjur juga menyediakan 400 kemeja-T untuk peserta yang mendaftar awal di lokasi pertandingan.
“Bagi menggalakkan kehadiran peserta, penganjur menetapkan yuran RM75 untuk satu joran manakala bagi pemancing kelainan upaya pula hanya perlu membayar RM50.
“Ini adalah yuran penyertaan paling murah pernah dikenakan dalam pertandingan memancing dengan hadiah juara RM20,000,’’ katanya
Pertanyaan dan pendaftaran boleh berhubung dengan penganjur di talian 019-6203040, 012-2141401 dan 012-6823479. – UTUSAN