Cuba tukar selera, Naim Daniel tubuh Muah Band - Utusan Malaysia

Cuba tukar selera, Naim Daniel tubuh Muah Band

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Dulu satu kepala sahaja yang berfikir, tetapi sekarang dah jadi lima kepala pula.”

Itulah ungkapan pertama yang dikeluarkan oleh seorang pelakon dan penyanyi muda, Naim Daniel, sewaktu ditanya mengenai tujuan utama Muah Band itu ditubuhkan.

Naim Daniel atau nama penuhnya Muhammad Naim Daniel Baharin, 26, berkata impiannya untuk menubuhkan band sendiri bermula sejak kecil lagi tetapi sewaktu mula berada dalam industri seni, dia lebih memilih untuk bergerak secara sendiri terlebih dahulu.

“Sebenarnya, daripada kecil lagi memang lebih ke arah band, tetapi saya memilih untuk menjadi pop artıs dahulu.

“Disebabkan ingin mencuba benda baharu, saya tubuh Muah Band sebagai salah satu legasi kepada kerjaya saya di masa hadapan,” jelas anak muda yang tidak pernah lekang mencabar diri sendiri demi mencapai kerjayanya dalam industri seni.

Namun begitu, dia turut mendakwa, kekecewaan yang dihadapi pada bulan lalu juga turut menjadi punca kepada tubuhnya Muah band dalam industri muzik.

“Kalau dulu sewaktu buat persembahan seorang diri di hadapan khalayak ramai, saya mesti akan terasa tertekan secara tiba-tiba sehingga pernah terlupa lirik sewaktu menyanyi.

“Tetapi, sewaktu persembahan bersama band sendiri, saya terasa tidak asing dan ia sedikit sebanyak membuatkan saya rasa hidup sewaktu membuat persembahan,” jelasnya.

Walaupun kini bahagia dengan kumpulan baharu, terdapat segelintir individu yang mendakwa anak kelahiran negeri Sembilan ini cuba mengikut pihak tertentu, malah dia mengambil tindakan untuk mengabaikan komen negatif sebegitu.

“Saya tidak kisah orang nak cakap begitu kerana saya tahu kecenderungan saya ke arah mana daripada dahulu.

“Peminat pun suka dengan band baharu ini dan kami juga dapat beri komitmen sebaiknya sewaktu membuat latihan mahupun persembahan di hadapan khalayak ramai,” ujarnya.

Walaupun dia kini menubuhkan band sendiri, penyanyi Sumpah ini tetap fokus kepada kariernya sendiri sebagai penyanyi solo dan juga dalam bidang lakonan.

BOY BEST FRIENDS

Tidak lekang dengan lagu solo, Naim bersama Muah Band juga turut bergerak seiring untuk menghadiah lagu terbaru demi memenuhi keinginan peminat.

“Sekarang kami dalam proses menyiapkan enam lagu dan sekarang sudah selesai empat lagi.

“Insyaallah, hujung tahun ini, akan kami hidangkan single buat kali pertama yang bertajuk Boy Best Friends kepada peminat,” jelasnya.

Dalam mencapai kejayaan tersebut, Muah Band juga turut melakukan kolaborasi bersama team Sonic Music Jakarta sebagai pembuka tirai kepada lagunya yang bakal dikeluarkan kelak.

“Ada empat single yang kami buat bersama team Sonic Music Jakarta dan perkara ini merupakan satu kejayaan kepada band ini yang masih baru lagi menjinak dalam industri seni,” ujarnya.

Rentetan daripada perkara tersebut, semua ahli Muah Band tidak pernah mendakwa perkara tersebut sebagai satu beban malah mereka hanya bergerak secara santai kerana setiap ahli memiliki komitmen harian mereka sendiri.

“Harapan saya cuma satu, kami hanya mahukan peminat ‘lapar’ dengan setiap lagu yang kami keluarkan dan tidak sabar untuk melihat reaksi peminat apabila mendengar lagu single terbaru yang bakal keluar kelak,” luahnya.

Muah band merupakan kumpulan penyanyi baharu yang dianggotai oleh lima orang ahli iaitu Naim Daniel, Mairil (pemain drum), Tasneem (bass), Ayai (keyboard) dan Zenith (gitaris).

Kumpulan ini ditubuhkan pada tahun lepas, sebagai satu legasi baharu yang diketuai oleh pelakon dan penyanyi, Naim yang sememangnya akan menjanjikan kepuasan kepada peminat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN