'Cuaca di Tanah Suci amat ekstrem, jauh beza di tanah air'

‘Cuaca di Tanah Suci amat ekstrem, jauh beza di tanah air’

WAN SUHAIMI dan isteri, Amnah Muhmed Rumi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: “Saya ingat cuaca di Malaysia sudah cukup panas, tapi bila sampai di sana (Mekah), cuacanya lagi ekstrem,” kata Wan Suhaimi Wan Hussain, 57.

Wan Suhaimi dan isteri, Amnah Muhmed Rumi, 55, adalah antara 280 kumpulan pertama jemaah haji Malaysia yang selamat tiba di tanah air malam tadi.

Pasangan guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cherang Ruku, Pasir Puteh, Kelantan itu berlepas ke tanah suci pada 8 Mei lalu.

Wan Suhaimi berkata, dia dan isteri mengakui cuaca di Tanah Suci amat panas, namun keadaan itu dapat diredakan dengan banyak minum air dan elakkan keluar pada waktu tengah hari.

“Bagi kita orang Malaysia, cuaca panas di Tanah Suci sekitar 45 darjah selcius itu adalah amat ekstrem. Di tempat saya (Kelantan), cuaca panas adalah sekitar 35 hingga 37 darjah selcius sahaja,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, malam tadi.

Wan Suhaimi memberitahu, dia tidak pernah terserempak dengan mayat jemaah haji bergelimpangan di tepi jalan yang meninggal dunia akibat strok haba di Tanah Suci seperti yang di paparkan di media sosial.

Bagaimanapun, dia memaklumkan, ada rakan jemaah lain sempat berkongsi kepadanya pernah terserempak dengan kejadian (mayat bergelimpangan) itu, malah sempat diajar mengucap.

Sementara itu, Amnah berkata, dia dan suami bersyukur kerana tidak mengalami sebarang masalah kesihatan teruk ketika berada di Tanah Suci kecuali batuk yang belum pulih sepenuhnya sehingga kini.

“Saya paling rindu nak jumpa cucu sulung saya, Aiman Mikael Arif Farhan, 3, apabila tiba di rumah nanti,” katanya.

Malam tadi, seramai 280 orang jemaah haji Malaysia selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini kira-kira pukul 9.30 malam dan disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan pengurusan tertinggi Lembaga Tabung Haji (TH).

Kumpulan jemaah dari Kedah dan Kelantan itu berlepas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah pada jam 6.40 pagi (waktu Arab Saudi) dengan pesawat AMAL by Malaysia Airlines (MH 8251). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya