‘KEMESRAAN’ dua pelakon, Nadia Brian dan Fadlan Hazim menimbulkan persepsi negatif segelintir warganet.
Biarpun ada yang maklum, itu hanya untuk drama lakonan mereka, namun ternyata ada yang salah anggap.
Terutama baru-baru ini, timbul dakwaan kononnya seorang pelakon wanita cuba merampas suami orang.
Lantas nama Nadia terpalit sama. Lebih-lebih lagi kerana statusnya sebagai janda, ada yang kurang senang.
Jawablah mendapatkan Nadia. Benarkah kemesraan yang ditunjukkan sekarang untuk drama Bila Takdir Melarang Cinta lakonan mereka? Adakah dia maklum tentang dakwaan tersebut? Nadia, Jawablah!
Baru-baru ini kecoh dakwaan kononnya seorang pelakon wanita ‘menyondol’ suami orang. Tak pasal-pasal, nama Nadia terpalit sama terutama ketika ini ramai yang perasan kemesraan Nadia dan Fadlan Hazim. Nadia maklum dengan dakwaan tersebut?
Saya ada dengar juga, iyalah dalam industri seni ini khabar angin laju sahaja tersebar. Tetapi kelakarnya macam mana nama saya dan Fadlan terpalit sama pula?
Kami ini sedang berlakon sama dalam drama baharu. Apa yang saya boleh katakan, dakwaan itu tidak ada kena mengena dengan saya dan sekiranya ada yang mengaitkan nama saya, itu satu fitnah dan 100 peratus tidak benar. Kami profesional.
Adakah kerana status janda Nadia dan Fadlan sebagai suami orang membuatkan ada pihak cuba menabur fitnah?
Itulah saya pun pelik. Kenapa hendak kaitkan saya pula? Memang saya ini janda tetapi tidaklah terhegeh-hegeh sangat hendak berkahwin.
Meruntuhkan rumah tangga orang pula itu, memang tidaklah. Kami bekerja seperti biasa. Hantaran yang dimuat naik juga untuk mempromosikan drama Bila Takdir Melarang Cinta.
Kami berdua profesional. Bila di set, masing-masing tahu peranan dan watak. Di luar set, kami sebagai rakan satu industri sahaja. Kami juga pernah berlakon sama sebelum ini, tidak timbul apa-apa isu pun. Mungkin sekarang terma ‘penyondol’ itu tengah panas, saya pula janda.
Sering kali berdepan tnah seperti ini hanya kerana status, Nadia kecewa apabila dilihat negatif oleh segelintir pihak?
Ini takdir yang Tuhan telah tulis, bukan saya minta pun jadi janda. Semua itu ada hikmah dan saya fikir, apa yang berlaku adalah perancangan terbaik daripada Tuhan.
Ada juga saya tertanya-tanya, kenapalah ada pandang negatif? Doakan yang baik-baik untuk saya. Hentikan fitnah dan dakwaan yang tidak baik. Saya tidak buat perkara sebegitu. Minta jauhkan.
Mungkin ada yang terlalu ambil berat sampai mahu saya kahwin cepat-cepat. Saya pun kalau ada jodoh, mahu cepat kahwin.
Tetapi selagi belum ada yang berjaya mencuri hati, lebih baik saya fokus kerja dan perniagaan. Itu lebih memberi saya ketenangan dan kebahagiaan buat masa ini.
Ini bukan kali pertama Nadia berdepan fitnah cubaan merampas suami orang, Nadia rasa ada pihak sengaja sebar dakwaan seperti ini?
Entahlah, saya tidak mahu tuduh-menuduh dan fikir bukan-bukan. Tidak mahu salahkan orang. Tetapi pada masa sama, saya juga hairan kenapa nama saya terpalit sama.
Sepanjang bergelar anak seni, saya tidak buat perkara sebegitu. Macam saya cakap, mungkin mereka terlebih ambil berat.
Selain penggambaran drama Bila Takdir Melarang Cinta, nampaknya Nadia juga sibuk berniaga?
Ya, orang kata untuk bekalan pendapatan masa depan. Sebab itu, selain sibuk berlakon, saya kena fokus juga perniagaan.
Saya pun akan terima satu tawaran sahaja dalam satu-satu masa. Dulu boleh terkejar-kejar tetapi sekarang saya kena kir kualiti. Lagipun untuk drama baharu tayangan Iqiyi itu, saya kali pertama bekerja di bawah produksi MIG. Memang teruja. Saya beri yang terbaik.