ARAU: Bahagian Pasukan Simpanan (BPS) Tentera Darat Malaysia (TDM) bakal menganjurkan Forum Angkatan Sukarela Malaysia bersempena Hari Ulang Tahun Askar Wataniah Ke-66 pada Jumaat depan.
Forum bertajuk Whole Of Government, Whole Of Society (WOGOS) itu bakal berlangsung di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Kampus Alam Pauh Putra, di sini.
Pemangku Raja Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah dijadualkan berangkat bagi menyempurnakan majlis perasmian program tersebut.
Difahamkan, forum yang dilaksanakan selama separuh hari itu melibatkan kerjasama dengan Unimap sebagai rakan strategik utama bagi penganjuran program tersebut.
Tuanku Syed Faizuddin menyeru seluruh rakyat agar dapat bersama-sama memberi komitmen dan tanggungjawab khususnya kepada TDM bagi memastikan segala usaha dilaksanakan ini dapat dimanfaatkan oleh generasi akan datang.
“Cabaran geo politik, strategik serantau, ketidaktentuan hubungan kuasa besar di rantau Asia Pasifik, pergolakan Timur Tengah, cabaran kejiranan Asia Tenggara yang kompleks, ekstremisme dan pelbagai lagi mewajarkan setiap negara untuk merangka strategi secara konstruktif bagi mendepani situasi semasa,” titah baginda.
WOGOS merupakan pendekatan agensi perkhidmatan awam bekerjasama melintasi sempadan portfolio untuk membangunkan dasar-dasar integrasi dan program-program pencapaian matlamat bersama atau saling melengkapi dengan bergantung antara satu sama lain.
Usaha memperkasa WOGOS ini juga merupakan pendekatan yang lebih meluas dengan melangkah jauh melampaui pihak berkuasa awam.
Inisiatif ini melibatkan komitmen semua pihak berkepentingan yang relevan membabitkan individu, keluarga, komuniti, organisasi antarabangsa, institusi keagamaan, masyarakat sivil dan pelbagai lagi.-UTUSAN