BN sedia letak calon DUN Nenggiri - Ahmad Zahid

BN sedia letak calon DUN Nenggiri – Ahmad Zahid

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) bersedia meletakkan calonnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri jika ada pilihan raya kecil (PRK) nanti.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun BN adalah parti ‘underdog’ (bukan pilihan) di DUN itu, namun parti tetap bersedia sekiranya diputuskan PRK di kawasan itu nanti.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, BN hanya mengalami kekalahan 810 undi pada pilihan raya lalu.

“Kita menghormati keputusan dibuat oleh Speaker DUN Kelantan, namun kita juga harus hormati bahawa perkara ini dibawa ke mahkamah.

“Walaupun pelbagai pandangan dan pendapat dari penganalisis politik dan pengamal perundangan, kami berpendapat bahawa ia harus diputuskan oleh mahkamah terlebih dahulu dan ia harus dihormati,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam sidang akhbar pertemuan khas peserta dan penganjur Mid Season Cup MLBB 2024 – Moonton Games Malaysia di sini hari ini.

Katanya, setakat ini, BN telah bersiap siaga, malah sedang mengumpul data-data baharu di DUN berkenaan termasuk menggerakkan jentera di peringkat lokaliti.

Ditanya sama ada BN bersedia meletakkan bekas penyandang DUN itu sebagai calon, Ahmad Zahid berkata, perkara itu boleh dirundingkan memandangkan beliau (Mohd Azizi Abu Naim) sudah memihak kepada Kerajaan Perpaduan.

“Itu boleh dirundingkan dan saya fikir pendirian kami adalah di mana-mana tempat yang ada PRK, penyandang itu jika datang dari parti komponen dalam Kerajaan Madani ini, kita akan berikan keutamaan.

“Apa yang berlaku di banyak tempat, kami berterima kasih kerana calon-calon BN dibantu jentera Kerajaan Perpaduan dan inilah yang sedang kami lakukan termasuk di Sungai Bakap dan saya percaya sama juga di Nenggiri,” katanya.

Sebelum ini, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan bermula pada Rabu.

Keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan pada 13 Jun lalu menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang ADUN Bersatu berhubung keahlian Mohd Azizi yang juga ADUN Nenggiri itu terbatal daripada Bersatu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, calon Pas, Mohd Azizi dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menang dengan undian 6,431 mengalahkan calon BN, Ab Aziz Yusoff yang mendapat 5,682 undi.

Ditanya kecenderungan pengundi BN atau UMNO di PRK Sungai Bakap, Ahmad Zahid berkata, beliau percaya lebih 5,000 ahli UMNO di DUN itu akan menyokong calon Pakatan Harapan (PH).

“Terdapat lapan pusat daerah mengundi (PDM) di DUN itu dan UMNO mempunyai seramai 5,105 ahli. Jadi tumpuannya ialah kepada pengundi pengundi UMNO di samping kita cuba menggamit pengundi Melayu.

“Namun parti komponen dalam BN seperti MCA, MIC dan Friends of BN juga telah memobilisasikan untuk mendekati pengundi pengundi pelbagai kaum di Sungai Bakap.

“Sedaya mungkin kita akan memaksimumkan usaha untuk mengundi calon dari Kerajaan Perpaduan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya