SHAH ALAM: Perbicaraan rayuan keputusan pembebasan penyanyi dan komposer, Yasin berhubung kes dadahnya tahun lalu, ditetapkan di Mahkamah Tinggi, di sini pada 22 Ogos depan bagi pendengaran hujahan pihak perayu dan responden.
Tarikh tersebut ditetapkan Penolong Kanan Pendaftar, Azmi Aman, selepas kedua-dua pihak turut bersetuju untuk memfailkan hujahan bertulis masing-masing pada 15 Julai dan 29 Julai jika terdapat hujahan balas.
“Ketika pendengaran, pihak terbabit boleh membuat hujahan lanjut berkaitan isu baharu yang timbul nanti. Mahkamah Tinggi akan membuat keputusan pada hari sama atau mohon pada tarikh lain,” katanya,” hari ini.
Dalam prosiding hari ini, Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 49, diwakili peguam Ariff Azami Hussein sebagai responden, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lokman Kasim sebagai perayu.
Bagaimanapun, Ariff Azami ketika ditemui selepas prosiding tersebut memaklumkan, proses rayuan yang dilalui anak guamnya itu merupakan sebahagian daripada prosedur perundangan yang perlu dihadapi dan kedua-dua pihak berhak mengemukakan rayuan terhadap keputusan.
“Kita kena faham dalam sesuatu perbicaraan pihak-pihak yang tidak berjaya di peringkat bicara, mereka ada hak membuat rayuan, sekiranya pihak kita pun jika tidak berjaya pada bicara yang lepas pun kita ada hak untuk membuat rayuan.
“Jadi, itulah hak yang sedang digunakan oleh pihak pendakwaan, jadi ini adalah proses walaupun Yasin sebut beberapa kali seolah-olah belum nampak sinar di hujung terowong dan sebagainya, inilah proses perundangan yang perlu dilalui.
“Tetapi, kita tetap yakin dan percaya, keputusan yang dicapai oleh mahkamah…bicara adalah kita akan cuba sedaya upaya untuk mempertahankan proses (keputusan) tersebut dan kita menyerahkan kepada kebijaksanaan mahkamah untuk memutuskan yang terbaik sesuai dengan fakta dan keterangan diperolehi,” jelasnya.
Sementara itu, Yasin yang terkenal dengan lagu ‘Mimpi Laila’ memberitahu, beliau percaya rayuan terhadap keputusan lepas dan bebasnya difailkan berikutan terdapat pertikaian berhubung gejala mania pernah dialaminya ketika perbicaraan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada dua tahun lalu.
“Pada dasarnya pendakwa raya tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah sesyen yang melepaskan dan membebaskan saya daripada semua pertuduhan atas alasan ketika kejadian saya tidak waras kerana bergejala mania, memang saya sakit.
“Gejala mania (ketika perbicaraan dahulu) bukan kali pertama saya kena, kali pertama saya kena pada tahun 2009 dan pernah dilaporkan akhbar Utusan Malaysia dengan tajuk ‘gila isim’, masa itulah, ketika itu orang tak faham istilah bipolar.
“Pada tahun 2009 sudah banyak kali berlaku dan terakhir sekali sekitar awal tahun 2022 ditimpa gejala mania yang pada ketika itu adalah waktu kejadian (perbicaraan di Mahkamah Sesyen) cuma pihak pendakwa raya ketika itu barang kali tidak mempercayai saya benar-benar mengalami gangguan episod mania itu,” jelasnya.
Pada 29 November lalu, Hakim Mahkamah Sesyen, Faiz Dziyauddin membebas dan melepaskan Yasin, 49, daripada tiga pertuduhan memiliki dadah seberat 193.7 gram di bawah Seksyen 39(A) (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang didakwa dilakukan dekat Kota Damansara pada dua tahun lalu.
Bagaimanapun, beliau diperintah ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama mana yang diperkenan oleh Sultan Selangor seperti yang diperuntukkan oleh Seksyen 348(2) Kanun Prosedur Jenayah. – UTUSAN