Bella masih cuba menyesuaikan diri dengan status baharu - Puteri Sarah Liyana - Utusan Malaysia

Bella masih cuba menyesuaikan diri dengan status baharu – Puteri Sarah Liyana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon, Puteri Sarah Liyana, 39, mendedahkan, sahabatnya, Bella Astillah, masih berada dalam keadaan terkejut selain sedang mencuba menyesuaikan diri dengan perubahan status rumah tangganya kini.

Sarah berkata, pada waktu ini, Bella tentunya memerlukan sistem sokongan yang sangat kuat dan sabagai sahabat, dia harus memainkan peranan dengan memberikan kata-kata semangat kepada pelakon tersebut.

“Saya dah lama tak jumpa dengan Bella dan masa dia bercerai di mahkamah, saya tak sempat nak jumpa dia. Kebetulan masa sambutan raya haji, kami berpeluang bertemu sambil bawa anak-anak bersama.

“Dapat dikatakan, dia masih dalam keadaan terkejut dan sedang cuba menyesuaikan diri dengan keadaan sekarang.

“Sebagai sahabat, saya kena beri sokongan dan semangat kepada Bella untuk dia meneruskan hidupnya,”katanya.

Sarah berkata demikian ketika ditemui selepas sidang media drama Polis Peronda terbitan Skop Productions di Sri Pentas, hari ini.

Selain itu, kata Sarah,dia juga menitipkan kata nasihat kepada Bella supaya terus cekal dan bersabar dalam meneruskan kehidupan baharu bersama anak-anaknya.

“Dia masih sedih, itu sudah tentu. Saya dulu tak sedih sebab dah lama ‘move on’. Bagi Bella, dia masih tak boleh menerima kenyataan tetapi dia mencuba.

“Sebab ini kali kedua dia bercerai bukan dan saya tumpang sedih kerana memikirkan anak-anaknya. Tetapi saya nak dia tahu, saya sentiasa ada di sisi untuk menyokongnya.

“Saya ada pesan kepadanya, kalau ada apa-apa tolong beritahu saya,”katanya.

Pada 13 Jun lalu, pasangan selebriti kontroversi, Aliff Aziz dan Bella sah bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta.

Aliff melafazkan talak di hadapan Hakim Syarie, Wan Mohd Najib Wan Hamat, kira-kira jam 1.10 tengah hari. Lafaz itu kemudian disahkan mengikut hukum syarak oleh Wan Mohd Najib.

Sebelum ini, Aliff dan Bella pernah bercerai talak satu pada 16 Mei 2019, namun, rujuk semula.

Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN