Bekas pengurus syarikat ditahan kemuka kontrak kerja palsu bernilai RM77 juta

Bekas pengurus syarikat ditahan kemuka kontrak kerja palsu bernilai RM77 juta

SPRM menahan reman seorang bekas pengurus syarikat kerana disyaki mengemukakan dokumen perjanjian kontrak kerja palsu di Mahkamah Majistret Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang bekas pengurus syarikat kerana disyaki mengemukakan dokumen perjanjian kontrak kerja palsu bagi memohon kuota pekerja asing kepada Jabatan Tenaga Kerja, Kementerian Sumber Manusia.

Menurut sumber, suspek yang merupakan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40-an ditahan kira-kira pukul 6 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Putrajaya.

Susulan penahanan itu, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi dan perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 1 Julai depan dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.

“Siasatan awal mendapati suspek bersama tujuh pengarah syarikat daripada empat buah syarikat terbabit memohon kuota pekerja asing di jabatan itu dengan mengemukakan dokumen perjanjian kontrak kerja palsu.

“Suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2022 yang melibatkan 25 kontrak kerja palsu dengan anggaran kira-kira RM77 juta,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas, Datuk Azmi Kamaruzaman, ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Beliau juga menegaskan bahawa SPRM sedang mengesan beberapa lagi individu bagi membantu siasatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN