KUALA SELANGOR: Balu kepada bekas wartawan Majalah 3, Allahyarham Abdullah Sidek Majin, Khairana Sabtu, 53, mahu menggunakan wang sumbangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk menampung pengajian dua anak yang masih belajar.
Pensyarah universiti swasta itu berkata, dua daripada lima anak mereka berusia antara 20 hingga 27 tahun masih menuntut di sebuah universiti awam dan kolej swasta.
Beliau berkata, kehilangan suami yang disifatkan seorang lelaki dan bapa yang penyayang serta mengutamakan keluarga sangat dirasai seluruh keluarga namun mereka reda.
Allahyarham Abdullah Sidek, 58, meninggal dunia kerana kanser limfoma tahap empat, 29 Mei lalu di Tanjung Malim, Perak.
“Saya nak ucap terima kasih kepada Perkeso yang cepat bertindak membantu di mana dua hari selepas pengebumian saya dihubungi Perkeso cawangan Tapah yang memproses permohonan.
“Alhamdulillah, hari ini kami terima sumbangan Perkeso,” katanya selepas menerima kunjungan dan sumbangan yang disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal di Saujana Utama dekat sini.
Sementara itu, Subahan berkata, hasil semakan mendapati waris Abdullah Sidek layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000 dan Pencen Penakat di bawah Skim Keilatan.
Katanya, bayaran Pencen Penakat RM1,743.75 sebulan sepanjang hayat disalurkan kepada balunya dan anak, Ariq Mikhael, 20, sehingga berusia 21 tahun jika belum berkahwin dan ia boleh diteruskan sekiranya menyambung pengajian ke peringkat ijazah pertama.
Menurutnya, hasil rekod caruman yang pernah dibuat membolehkan waris keluarga menerima faedah Perkeso yang secara tidak langsung membantu meneruskan kehidupan keluarga selepas pemergian Allahyarham.
“Ini menunjukkan berapa pentingnya individu yang bekerja untuk mencarum dengan Perkeso. Ia bukan sahaja bentuk persediaan dalam melindungi diri sendiri tetapi untuk memastikan kebajikan tanggungan mereka sekiranya berlaku musibah,” katanya.