Bagaimana YIPs buat penilaian jual saham dengan nilai RM9 juta - Rozabil - Utusan Malaysia

Bagaimana YIPs buat penilaian jual saham dengan nilai RM9 juta – Rozabil

ROZABIL Abd. Rahman (tengah) selepas mempengerusikan mesyuarat UMNO Bahagian Arau di Kangar, Perlis hari ini.-UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Langkah kerajaan negeri menerusi Yayasan Islam Perlis (YIPs) yang melepaskan saham 40 peratus kepada Kumpulan Perubatan Johor Sendirian Berhad (KPJSB) yang mengandungi Hospital KPJ Perlis di sini dengan nilaian RM9 juta dilihat terlalu rendah daripada harga pasaran sebenar.

Malah, UMNO negeri turut mempersoalkan bagaimana Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah YIPs itu boleh bersetuju untuk menjual keseluruhan saham tersebut dalam Perlis Specialist Hospital Sdn Bhd (PsSHSB) iaitu syarikat yang berstatus Special Purpose Vehicle (SPV) bagi operasi hospital berkenaan walhal penilaian sebenar nilai hartanah di kawasan berkenaan sebenarnya lebih besar daripada itu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rozabil Abd Rahman berkata, nilai RM9 juta yang diterima oleh YIPs itu berdasarkan 40 peratus saham PsSHSB yang dimiliki YIPs sebelum ini sebenarnya tidak setimpal dengan nilai sebenar hartanah serta apa sahaja yang dimiliki oleh Hospital KPJ Perlis itu.

Beliau seterusnya mempersoal Mohd. Shukri bagaimana sebenarnya penilaian yang dibuat kerajaan negeri atau YIPs kepada 40 peratus saham yang dijual balik kepada KPJSB ini.

“Ini jika dilihat 40 peratus saham ini dijual dengan nilai RM9 juta ia secara tidak langsung menjadikan nilai Hospital KPJ kurang lebih sekitar RM20 juta nilainya walhal adakah kerajaan negeri tidak melihat aspek saiz tanah, lokasi tanah, bangunan yang ada, peralatan yang digunakan dalam hospital itu serta perniagaan yang sudah dijalankan selama beberapa tahun.

“Apa yang saya lihat harga nilaiannya agak rendah dengan apa yang sudah kita (Perlis) dapat daripada hasil jualan 40 peratus itu dan nilai yang diterima YIPs hanyalah RM9 juta,” katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Arau kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat UMNO Bahagian Arau, di Bilik Mesyuarat Bangunan Transformasi Bandar (UTC), di sini hari ini.

Baru-baru ini, kerajaan negeri melalui YIPs berjaya memperoleh RM9 juta hasil daripada penjualan saham kepada KPJSB.

Mohd Shukri memaklumkan demikian selepas majlis menandatangani perjanjian yang diadakan di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) dan menjelaskan dana diperoleh daripada penjualan saham ini akan digunakan untuk memperkukuhkan operasi YIPs dan membuka peluang pelaburan yang lebih menguntungkan pada masa depan.

“Tandatangan ini adalah untuk kita jual syer dengan KPJ dan kita dapat duit tunai untuk membantu operasi yayasan. Sekarang ini yayasan mempunyai kewangan yang mencukupi untuk menjalankan operasi. Saya ingat mereka akan membuat pelaburan yang menguntungkan dengan modal yang ada lebih kurang RM9 juta,” kata Mohd. Shukri.

Sementara Rozabil berkata, pihaknya percaya kerajaan negeri gagal membuat satu penilaian yang efektif dan berguna kepada Perlis apabila nilaian yang diberikan tidak setimpal dengan nilaian hartanah dan aset yang dipunyai oleh hospital itu di kawasan berkenaan.

“Saya percaya Hospital KPJ Perlis sendiri mempunyai peralatan perubatan yang canggih bernilai lebih RM20 juta dan itu tidak termasuk nilai bangunan, tanah dan perniagaan yang sedang dijalankan di hospital itu dimana ia dipanggil Nilai Had Semasa Bersih atau ‘net present value (NPV)’ dan untuk Hospital KPJ dengan saiz sebesar itu saya rasa nilainya sepatutnya lebih.

“NPV ini harus dikira campur dengan semua aspek yang kita perkatakan itu dan untung rugi tidak menjadi masalah namun mestilah ada mewujudkan pendapatan atau ‘revenue’ jadi dalam hal ini sebagai contoh mungkin 10 tahun dahulu tanah Hospital KPJ itu bernilai RM5 juta namun apakah pula nilainya pada waktu ini.

“Adakah YIPs terlupa bahawa tas tanah itu ada bangunan jadi apa NPV bangunan Hospital KPJ itu pula kerana bagi saya terus terang saya katakan RM9 juta yang diterima hasil penjualan saham sebanyak 40 peratus itu adalah terlalu rendah bagi YIPs untuk mempersetujui urusan jual beli saham itu,” katanya.

Rozabil berkata, dia difahamkan bahawa penjualan saham YIPs dalam PsSHSB adalah disebabkan pihak YIPs ingin menumpukan kepada pelaburan perniagaan yang lebih menguntungkan namun kerajaan negeri tidak mahu mendedahkan bentuk perniagaan yang mahu diteroka oleh kerajaan negeri.

“Jadi sudah tiba masanya, Menteri Besar sendiri memberitahu rakyat Perlis mengenai pelburan perniagaan yang menguntungkan yang hendak diteroka oleh mereka dan apa sudah jadi pada pelaburan berjumlah RM2.5 bilion dan RM1.5 bilion serta ekplorasi dolomite yang bernilai RM19.5 bilion yang dinyatakan Menteri Besar sebelum ini dan sudah sampai setakat mana perkembangannya.

“Setakat ini, saya lihat pelaburan yang diperkatakan itu tidak langsung membawa kepada pembukaan pelbagai peluang pekerjaan di negara ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya