Bagaimana kalau Siksa Kubur tidak nyata? - Utusan Malaysia

Bagaimana kalau Siksa Kubur tidak nyata?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUNGKIN Siksa atau judul asalnya Siksa Kubur menjadi filem Joko Anwar yang paling saya tunggu masuk ke panggung.

Saya tidak sabar melihat kearifan pengarah itu menukang sebuah naskhah yang menggabungkan seram, ngeri dalam hujah agama yang menceritakan penyeksaan bagi orang jahat selepas mati.

Act satu filem ini begitu utuh, dibuka sangat jelas dan premisnya kuat. Ia dimulakan dengan gadis bernama Sita yang melihat ibu bapanya mati dibunuh di depan mata.

Ada dendam dalam dirinya yang membuak ingin membuktikan bahawa seksa kubur tidak benar. Sita dan abangnya, Adil dihantar ke sekolah anak yatim Islamik.

Saya suka bagaimana Joko Anwar bermain dengan simbol warna ketika Sita didenda memakai tudung merah kerana berbuat salah.

Alasan diberikan ustazah mudah, Sita perlu nampak lain kerana dia perlu tahu apa yang dia lakukan adalah kesalahan.

Babak itu mengingatkan saya kepada magnum opus Nathaniel Hawthorne tahun 1850 bagaimana seorang perempuan yang berbuat salah dipulaukan kerana takut jiwa kejahatannya akan berjangkit kepada orang lain.

Sita dan Adil kemudian melarikan diri daripada sekolah berkenaan melalui lorong. Sita dan Adil kemudian beranjak dewasa tapi obsesi Sita membuktikan seksa kubur tidak benar masih kuat.

Dia bekerja sebagai jururawat sementara Adil bekerja sebagai pengurus jenazah di hospital.

BANYAK ADEGAN TIDAK SELESA NAMUN CERMAT

Plot disusun kemas sehingga menemukan Adil dengan Wahyu; meninggalkan kesan trauma yang kuat dari masa kecilnya.

Saya tidak tuliskan secara jelas di sini bagi mengelakkan spoiler. Namun bagi saya, babak pergelutan Reza Rahadian dan Slamet Rahardjo cukup tragis dan membuat anda tidak nyaman pada masa sama.

Bukan itu sahaja, saya dapat melihat bagaimana telitinya Joko Anwar merangka setiap adegan sehingga membuat saya cukup tidak selesa menonton naskhah ini – babak kuku tercabut, perempuan mati di mesin dan macam-macam.

Keputusan Joko Anwar membawa penonton ke dalam mimpi Sita juga bijak, secara tidak langsung menyinggung masyarakat yang mudah mempercayai apa yang mereka muncul di media sosial tanpa pertimbangan yang jelas.

Namun begitu, ketika saya seronok menikmati naskhah Joko Anwar, saya sangat kecewa kerana banyak bahagian yang dipotong oleh Lembaga Penapisan Filem membantutkan semangat saya untuk memahami pemikiran Joko Anwar secara menyeluruh.

Sedangkan naskhah ini sudah ditayangkan dengan klasifikasi umur 18 tahun. Menurut saya seseorang itu sudah cukup matang menilai dalam membuat pertimbangan terhadap naskhah Joko Anwar.

Joko Anwar tidak cuba membuat kita menelan kata-kata dakwah mahupun mengatakan seksa kubur tidak wujud. Tapi dia memberikan sesuatu untuk difikirkan.

Filem yang baik memang seperti teka teki, hanya meninggalkan persoalan dan kitalah yang perlu menggunakan otak sendiri merungkai dan membahaskan mesej yang ingin disampaikan.

Act ketiga filem ini yang menurut saya sangat penting, kerana Sita berada di sebelah mayat merakam situasi siksa kubur.

Sekali gus meleraikan apa yanga da dalam kepada Sita selama ini. Namun sayangnya, bahagian itu juga telah disunting.

Walaupun saya pulang dengan rasa kecewa dan marah, namun Siksa Kubur ialah naskhah seram, psycho thriller yang sangat segar dan berbeza.

Bahkan pada saya, ini naskhah Joko Anwar yang terbaik pernah dihasilkan meletakkan pengarah itu di kelas yang berbeza.

Saya mengakhiri tulisan ini dengan persoalan, jika kita tidak percaya kepada seksa kubur, adakah itu bermakna kita akan terlepas daripadanya?

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya