Axrail buka makmal Gen AI pertama di Malaysia dan Asia Tenggara - Utusan Malaysia

Axrail buka makmal Gen AI pertama di Malaysia dan Asia Tenggara

Ketua Pegawai Eksekutif Axrail, Kelvin Kok bersama Ketua Pegawai Eksekutif Phison Electronics, Datuk Pua Khein Seng, Pengurus Negara AWS Malaysia, Peter Murray dan Pengarah Eksekutif QL Resources Berhad, Chia Lik Khai membuat tanda simbolik A untuk Axrail pada pembukaan Makmal Gen AI di Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Axrail, anak syarikat QL Resources Bhd. yang juga Rakan Kongsi Perkhidmatan Tahap Lanjutan Amazon Web Services (AWS) di Malaysia membuka Makmal Kecerdasan Buatan Generatif (Gen AI) di Malaysia dan Asia Tenggara.

Makmal itu mempamerkan penyelesaian pinggir dan awan untuk menyokong permintaan yang semakin meningkat bagi penyelesaian AI dan aspirasi ekonomi digital negara.

Makmal Gen AI itu menggabungkan kepakaran AWS, Phison dan Axrail dalam satu hab kolaboratif yang mempamerkan penyelesaian awan terkini yang dikuasakan oleh AWS, termasuk yang dibina di atas Amazon Bedrock1, bersama inovasi di lokasi dengan teknologi aiDAPTIV+ daripada Phison.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Axrail, Kelvin Kok berkata, syarikat itu sedang meninjau untuk mempercepatkan penggunaan AI, terutamanya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia.

“Ia boleh dicapai dengan memanfaatkan Wilayah AWS yang akan datang untuk pemastautinan data, kependaman rendah dan perkhidmatan awan yang teguh di seluruh Asia Tenggara,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pengurus AWS Malaysia, Pete Murray berkata, makmal baharu Axrail di AWS menawarkan penyelesaian perniagaan yang meningkatkan produktiviti dan kecekapan untuk industri seperti runcit, pembuatan, kesihatan dan hiburan untuk pelanggan PKS.

“Rakan kongsi seperti Axrail dapat membantu pelanggan memanfaatkan sepenuhnya peluang teknologi lanjutan seperti AI generatif yang boleh ditawarkan kepada pemilik perniagaan.

“Axrail mempunyai rekod prestasi yang terbukti berjaya membantu lebih daripada 50 perniagaan di Malaysia dan Singapura,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Phison Electronics, Datuk K.S. Pua berkata, syarikat itu bersama-sama dengan Axrail juga akan mempercepatkan transformasi digital AI Malaysia sambil memberikan jaminan tambahan tentang kerahsiaan data.

“Pada masa hadapan, Phison akan terus bekerjasama dengan Axrail untuk mengembangkan kerjasama dalam penstoran dan aplikasi AI,” tambahnya.

Terletak di Pusat Kecemerlangan untuk penyelesaian AI Axrail seluas 3,000 kaki persegi, Makmal Gen AI memupuk eksperimen yang bertanggungjawab dan penciptaan bersama aplikasi AI generatif.

Makmal itu direka untuk mempercepatkan kesediaan AI bagi perniagaan dengan membantu mereka membina keupayaan dalam mengekstrak nilai daripada data dan meningkatkan kecekapan operasi merentas pelbagai fungsi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN