Artis juga manusia, ada perasaan - Anna Jobling - Utusan Malaysia

Artis juga manusia, ada perasaan – Anna Jobling

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JIKA betul semuanya terjadi kerana kebetulan atau sekadar tempias wajah rupawan, sudah tentu pelakon, Anna Jobling hanya dikenali di Indonesia beberapa bulan. Sekadar one-hit-wonder yang kemudian namanya tenggelam, timbul dan dilupakan.

Tetapi gadis kacukan Melayu Inggeris-Portugis ini nampaknya pintar mencari peluang dan ruang. Dalam tempoh setahun ini sahaja, bertubi-tubi projek melibatkan nama besar penggiat seni Indonesia menginginkan Anna Jobling berada dalam naskhah mereka.

Bermula dengan drama The One sebanyak 10 episod terbitan MNC TV, Anna kemudian muncul membintangi video klip lagu Datuk Seri Rossa bertajuk Bertengkar Manis, bersama Omar Daniel.

Tidak berhenti di situ, Anna menjadi watak utama untuk filem sulung Baim Wong bertajuk Lembayung.

Jika anda fikir semuanya sudah berakhir di situ, dia kemudian membuat kejutan sekali lagi apabila berkongsi beberapa foto sedang menjalani penggambaran filem Indonesia keduanya iaitu Laut Tengah yang juga merupakan karya adaptasi daripada novel terlaris negara itu.

Pendek kata, rezeki pemilik nama penuh Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman jatuh mencurah. Dari watak kekasih, perempuan bandar, menjadi hantu dan ibu semuanya ditelaah.

PEMINAT ADALAH KAWAN, KELUARGA SAYA

Masih teringat video yang tular tahun lalu menyaksikan para peminatnya di Indonesia sanggup menunggu pelakon itu di lapangan terbang untuk menyapanya.

Malah kunjungan pertama Anna ke Indonesia dikejutkan dengan sambutan majlis ulang tahun kelahirannya apabila peminat dari pelbagai daerah turun ke Jakarta untuk menyanyikan lagu dan memberikan kek kepadanya.

Sehingga kini, mengintai video di laman sosial ramai peminat Anna juga teruja dengan kolaborasinya bersama pelakon muda yang turut meningkat naik di Indonesia seperti Gabriel Prince dan Aliando Syarief.

“Saya tidak pernah anggap peminat saya sekadar peminat.

“Bagi saya, mereka adalah kawan dan juga keluarga saya. Impian saya adalah untuk membuat mereka rasa dihargai.

“Dikurniakan peminat dan orang yang menyayangi kita juga adalah tuah. Saya percaya ini juga hadiah apabila kita bekerja dengan ikhlas,” jelasnya.

Namun apabila populariti meningkat, ada sahaja yang tidak kena di mata masyarakat. Ada sahaja segelintir individu yang kurang senang dengan kehadirannya mencari silap baik dari cara berpakaian, pergaulan, bahkan kata-kata di media sosial sengaja disalahertikan.

“Sebelum masuk industri lagi saya sudah bersedia bahawa banyak yang perlu saya korbankan terutama dari sesi peribadi.

“Kini selepas bergelar selebriti, ada perkara yang saya kongsikan dan masih ada juga hal yang saya ingin simpan buat diri sendiri,” katanya yang tidak pernah bercakap soal jodoh secara terbuka.

Ditanya pernahkah dirinya berhadapan dengan kecaman yang begitu mengguris perasaan, bekas peserta Dewi Remaja 2018/2019 akur dengan hak warganet yang mudah menilai.

“Berkenaan kecaman pula, saya faham bahawa itu hak mereka untuk melontarkan apa yang mereka mahu dan memberikan pendapat.

“Cuma saya harap mereka beringatlah dalam berkata. Artis juga adalah manusia yang ada perasaan.

“Mungkin mereka selesa untuk kecam atau lontarkan kata-kata benda yang tidak sedap dibaca dalam talian.

“Sebelum itu cuba kir, jika awak yang terima komen begitu bagaimana pula perasaan anda? Jika mahu nasihat atau kritik dengan baik dan profesional saya akan terima.

“Saya masih Anna yang sama. Saya mahu belajar dan menjadi seorang manusia yang lebih baik,” katanya menggulung bicara.

HIDUP SAYA MACAM MIMPI

“Semua ini macam mimpi.

“Diri saya lima tahun lepas tidak akan pernah menyangka seorang Anna Jobling yang introvert akan berlakon di Indonesia dan boleh travel ke luar negara untuk menjalani penggambaran.

“Tidak sangka inilah hidup saya. Semuanya rezeki Allah dan saya tidak pernah berhenti berdoa,” katanya.

Berkongsi kepada Pancaindera, Aktres TV Popular, Anugerah Bintang Ke-35 itu rupanya dibesarkan dengan banyak cerita seram dari Indonesia.

Bukan itu sahaja, dia pernah terfikir alangkah seronoknya kalau suatu hari nanti boleh terlibat dalam lem seram yang seperti itu. Siapa sangka, doa kecilnya terkabul tahun ini.

“Sebenarnya watak impian saya memang berlakon dalam naskhah genre seram terutama di Indonesia. Saya membesar dengan menonton cerita hantu mereka.

“Lain sedikit dengan penampilan saya selama ini yang membawakan karakter perempuan kena pukul dan gadis romantik,” tambahnya yang pernah menjadi atlet sukan renang di sekolah semasa zaman remajanya.

Menjadi satu-satunya pelakon Malaysia dalam produksi Indonesia, pemenang Anugerah Gempak Most Wanted 2023 itu mengakui adakalanya terbit momen kelakar berbeza pemahaman daripada perbezaan budaya.

“Momen lucu banyak kali terjadi maklumlah saya masih belajar bahasa Indonesia. Setiap set saya akan ada tutor yang mengajar. Saya juga ada maklumkan kepada rakan pelakon agar beri tunjuk ajar untuk saya perbaiki pertuturan.

“Awalnya gementar setiap kali memasuki set. Tetapi mujurlah kami ada sesi bacaan naskhah dan lakukan persediaan dua minggu sebelum penggambaran. Dari situ selalunya saya, para pelakon dan kru produksi sudah ada keserasian.

“Sangat bersyukur kerana mereka semua tidak pernah menganggap saya orang luar. Sampai sahaja di set penggambaran apapun, kita sudah sangat akrab ibarat satu keluarga,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya