PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menjawab isu penjualan saham Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP) dalam persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di portal Parlimen, soalan itu diajukan Datuk Mohd. Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) kepada Perdana Menteri pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.
Mohd. Shahar meminta Perdana Menteri menyatakan penjelasan terhadap keputusan konsortium syarikat pelaburan berkaitan kerajaan terhadap penjualan saham MAHB itu.
Sebelum ini, pelbagai pihak mempersoal hasrat MAHB menjual 30 peratus saham mereka kepada BlackRock yang didakwa mempunyai kaitan dengan Israel.
Terdahulu, Global Infrastructure Partner (GIP) memiliki 30 peratus saham MAHB dengan Abu Dhabi Investment Authority memberitahu, BlackRock yang berpangkalan di New York City tidak terlibat dalam usaha menswastakan MAHB walaupun syarikat pelaburan itu bersetuju untuk memperoleh GIP pada Januari.
GIP berkata, pengambilalihan BlackRock terhadap syarikat itu hanya akan selesai pada suku ketiga 2024.
Selepas urus niaga itu selesai, pasukan kepemimpinan sedia ada GIP akan mengekalkan kawalan dan tanggungjawab penuh untuk hala tuju strategik dan operasi GIP dan syarikat.
Untuk rekod, di bawah pelaksanaan penswastaan melalui konsortium yang dipanggil Gateway Development Alliance (GDA), Khazanah Nasional Bhd akan memegang 40 peratus kepentingan dalam MAHB, diikuti KWSP dengan 30 peratus.
Pada Mei lalu, media tempatan melaporkan, GAD dan pemegang sahamnya mengumumkan tawaran sukarela prasyarat bagi mengambil alih semua saham dalam MAHB yang belum dimiliki pada harga tawaran sebanyak RM11 sesaham.
Beberapa pihak menggesa Putrajaya membatalkan perjanjian itu kerana hubungan GIP dengan BlackRock, yang telah dituduh ‘mengaut keuntungan daripada pembunuhan beramai-ramai’ melalui kepentingannya dalam firma pertahanan AS yang didakwa mengeluarkan senjata yang digunakan oleh Israel.
Pada sesi yang sama, Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) meminta Perdana Menteri menyatakan strategi kerajaan susulan kedudukan Malaysia jatuh ke tangga ke-34 dalam Indeks Daya Saing Dunia 2024. – UTUSAN