KANGAR: Akses kepada teknologi meluas pada masa ini membuka peluang kepada ramai individu yang berminat untuk meningkatkan potensi diri dan menambah kemahiran.
Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, mahasiswa dan mahasiswi lepasan universiti juga tidak terkecuali untuk mengambil peluang mendalami ilmu-ilmu kemahiran baru dalam menghadapi dunia pekerjaan yang sememangnya didampingi penggunaan teknologi.
“Jadilah kita insan yang membawa kebaikan kepada orang lain. Semoga ilmu, kemahiran dan pekerjaan yang diperolehi dapat dimanfaatkan untuk membuka ruang ke arah kemajuan dan pembangunan segenap masyarakat”, titah selepas berkenaan berangkat merasmikan majlis pembukaan AI Summer Camp 09-University Tour di sini semalam.
Keberangkatan tiba baginda diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Pengerusi Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) Perlis, Prof. Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan & Inovasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr. Wan Kamal Mujani.
Majlis ini telah dianjurkan oleh FCoEE Perlis dengan kerjasama Institut Visual Informatik (IVI) UKM.
Seterusnya baginda menyeru agar ikatan kerjasama antara universiti-universiti bersama FCoEE terus kukuh untuk menjayakan inisiatif berimpak ini dan berharap agar semua pihak dapat secara terus menerus meningkatkan lagi mutu hidup dan kualiti mahasiswa.
Kamarudin berkata, program ini dirancang eksklusif buat anak-anak Perlis yang menuntut di universiti seluruh Malaysia dengan objektif utama bagi meningkatkan kemahiran dan kesediaan siswa-siswi selepas tamat pengajian.
“Enam modul seperti robotik, pembangunan chat bot dan beberapa modul lain dirancang bagi membolehkan para peserta menguasai elemen kecerdasan buatan seiring dengan keperluan pekerjaan sekarang yang turut dibantu dengan kepakaran pensyarah-pensyarah dari IVI dan UKM,” katanya.-UTUSAN