KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memasukkan dua afidavit tambahan dalam semakan kehakimannya berhubung titah adendum (perintah tambahan) yang antaranya memerintahkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya di rumah.
Dua afidavit tersebut ialah afidavit oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail dan afidavit yang menyentuh ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Konvensyen 25 Tahun PKR di Pusat Konvensyen Shah Alam (IDCC).
“Pada 21 April lalu, Perdana Menteri dalam ucapannya ada merujuk kepada afidavit tambahan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan menyatakan ia sepatutnya dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan.
“Jadi, jelas apa yang Perdana Menteri cakap (merujuk) titah adendum. Jadi (kami) masukkan ucapan tersebut (dalam afidavit) yang secara tidak langsung menyatakan titah adendum wujud tetapi cakapnya berlapik. Titah adendum wujud dan terdapat sebab-sebab yang tidak dinyatakan kenapa ia tidak dilaksanakan,” kata peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib.
Peguam terbabit berkata demikian ketika ditemui selepas sebutan semakan kehakiman bekas Ahli Parlimen Pekan di hadapan Hakim Datuk Amarjeet Singh.
Pada 21 Mei lalu, Wan Rosdy dalam afidavitnya menyatakan beliau mengetahui mengenai titah adendum oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman pemenjaraannya di rumah melalui Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Perkara tersebut kemudian tdimaklumkan kepada Presiden UMNO pada satu pertemuan di rumah Ahli Parlimen Bagan Datuk itu pada 30 Januari lalu.
Pada prosiding sama, mahkamah menetapkan 3 Julai ini sebagai keputusan permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman berhubung kewujudan titah adendum (tambahan) oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa.
Perkara itu turut disahkan oleh Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan yang turut dibantu Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly dan Peguam Persekutuan Ainna Sherina Saipol Amin.
“Pihak Jabatan Peguam Negara membantah dua afidavit itu yang ingin dimasukkan dalam pemohonan Najib (semakan kehakiman) kerana ia difailkan pada saat akhir iaitu semalam selepas mahkamah sebelum ini telah mendengar dan menetapkan hari ini untuk keputusan bagi permohonan itu.
“Namun, permohonan untuk memasukkan afidavit itu dibenarkan oleh mahkamah,” kata Shamsul ketika ditemui media.
Pada 1 April lalu, Najib memfailkan semakan kehakiman antara lain mendakwa selain perintah pengurangan hukuman penjara dan pengurangan jumlah denda, terdapat perintah tambahan yang membenarkan beliau untuk menjalani hukuman yang dikurangkan kepada ‘tahanan di rumah’ dan bukannya di Penjara Kajang.
Menurut afidavit yang difailkan, bekas Perdana Menteri itu mendakwa menerima ‘maklumat yang sahih’ berhubung titah adendum pada 12 Februari lalu.
Pada 9 April lalu, Ahmad Zahid dalam afidavitnya berkata, beliau dimaklumkan mengenai kewujudan titah terbabit oleh Tengku Zafrul ketika pertemuan di rumah Presiden UMNO berkenaan di Country Heights, 30 Januari lalu.
Ahmad Zahid juga dipetik berkata, Tengku Zafrul menunjukkan kepada beliau salinan Titah Adendum itu pada telefonnya yang beliau ambil gambar dan imbas sendiri daripada salinan asal seperti ditunjukkan kepadanya oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16. – UTUSAN