Abu Bakar komited ubah landskap Kuala Perlis - Utusan Malaysia

Abu Bakar komited ubah landskap Kuala Perlis

ABU Bakar Hamzah meninjau lokasi yang dibangunkan beliau di Dataran Lok 9 yang sebuah menjadi lokasi penganjuran pelbagai program besar sekali gus menjadi mercu tanda baharu di Kuala Perlis yang berupaya menarik lebih ramai pengunjung bersempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025 di Kuala Perlis baru-baru ini.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA Perlis merupakan lokasi yang sangat berpotensi untuk dibangunkan bagi tujuan pelancongan susulan terdapat beberapa destinasi tumpuan sekitar kawasan tersebut. Selain mempunyai terminal feri untuk ke Pulau Langkawi, Kuala Perlis juga terkenal dengan gerai atau restoran ikan bakar yang menjadi tumpuan ramai.

Bagaimanapun, aspek pelancongan di Kuala Perlis sebelum ini dilihat tidak begitu diperkasa semaksima mungkin walaupun kawasan itu sebenarnya berpotensi dalam menarik kehadiran lebih ramai pengunjung luar.

Menyedari potensi besar itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah telah melaksanakan usaha melakukan penambahbaikan dan pembaharuan di sekitar kawasan berkenaan.

Malah tidak sampai dua tahun menjadi ADUN buat kali pertama di kawasan berkenaan, Abu Bakar boleh dikatakan telah mengubah 30 peratus landskap di Kuala Perlis sekali gus sebagai tarikan pelancong.

Beberapa perancangan dan pembaharuan begitu agresif di sekitar kawasan Kuala Perlis yang diusahakan selama ini juga dilakukan atas inisiatif beliau dan menggunakan sumber kewangan sendiri.

Baru-baru ini, saya bersama jurugambar Mingguan Malaysia berkesempatan bersama Abu Bakar bagi meninjau dan melihat beberapa lokasi sekitar Kuala Perlis yang telah melalui proses transformasi dan dijadikan sebagai tarikan baharu di kawasan tersebut.

Antaranya lokasi yang dikunjungi bersama Abu Bakar adalah seperti di Laman Orang Kuala Perlis atau lebih dikenali sebagai Dataran Lok 9 yang terletak berhampiran terminal feri bersebelahan Hotel Brasmana.

Sebelum ini, kawasan seluas lebih enam hektar itu hanya dipenuhi dengan hutan paya bakau dan semak samun selepas perancangan asal bagi pembangunan projek parkir bertingkat di kawasan tersebut tergendala.

SIAPA sangka kawasan yang sebelum ini dipenuhi dengan hutan paya bakau dan semak samun telah dibangunkan hasil inisiatif Abu Bakar Hamzah sehigga menjadi lokasi untuk pelbagai penganjuran program di Lok 9, Kuala Perlis.- UTUSAN

Namun begitu, melihat akan potensi pelancongan di kawasan berkenaan, Abu Bakar telah mengambil inisiatif membangunkan kawasan tersebut dengan menggunakan modal sendiri sekitar RM300,000 melibatkan kerja-kerja penebasan hutan paya bakau, meratakan tanah, penurapan dan pelbagai lagi.

Malah, beliau turut membayar kos sewaan tanah di kawasan berkenaan berjumlah RM12,000 setahun kepada Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) dengan kontrak lima tahun.

Sejak kawasan itu dibangunkan, pelbagai program dan aktiviti telah dianjurkan antaranya seperti Festival Kuala Perlis, Festival Rakyat, malam Citrawarna Kuala Perlis yang penuh ikonik dan Perlis Open Fight Night bersempena sambutan Hari Keputeraan Raja Perlis Ke-81 yang menarik kunjungan puluhan ribu orang.

Beliau yang memperkenalkan ‘Eyes of Kuala Perlis’ di Dataran Lok 9 itu juga bakal menjadi mercu tanda baharu di Kuala Perlis sekali gus berupaya menarik lebih ramai pengunjung bersempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025.

DARI sebuah kawasan yang dipenuhi hutan paya bakau dan semak samun, dataran Lok 9 hasil inisiatif Abu Bakar Hamzah kini menjadi lokasi penganjuran pelbagai jenis program besar sekali gus membantu menyemarakkan Tahun Melawat Perlis.- UTUSAN

Lokasi berkenaan menjadi tapak kepada pelbagai program yang telah dan bakal dianjurkan sepanjang TMPs khususnya dalam mempromosikan aspek kebudayaan, perhotelan, kedai makanan dan pelbagai lagi buat masyarakat khususnya pengunjung luar.

Tidak cukup dengan itu, Abu Bakar turut berpandangan jauh dalam aspek pelancongan setempat apabila melihat potensi bagi pembangunan di kawasan lain antaranya seperti di Pulau Ketam di sini yang mampu menarik kehadiran pengunjung ke Kuala Perlis.

Bagi tujuan itu, beliau juga telah memohon bantuan agensi-agensi berkaitan sebelum ini untuk bersama-sama membantu membersihkan kawasan sekitar Pulau Ketam yang dipenuhi semak samun dan lalang.

Kini, Pulau Ketam semakin dikenali malah turut menjadi lokasi tumpuan pelancong dengan terdapat kemudahan 40 gerai makanan berlatar belakangkan pokok api-api bersama keindahan matahari terbenam.

Usaha tersebut secara tidak langsung juga membantu merancakkan ekonomi penduduk setempat.

Dalam meningkatkan kualiti pelancongan di Kuala Perlis, Abu Bakar berkata, beliau turut menitik beratkan aspek pengurusan sampah di kawasan berkenaan bagi menjaga imej khususnya buat pengunjung luar.

ABU Bakar Hamzah meninjau kawasan-kawasan yang berpontensi dibangunkan semula di Kuala Perlis baru-baru ini.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN

“Jika ingin meningkatkan pelancongan setempat, aspek kebersihan dan sampah juga merupakan perkara yang perlu dititik beratkan, maka disebabkan itu saya telah mengambil beberapa langkah drastik bagi menangani permasalahan tersebut.

“Antara yang dilakukan adalah melibatkan pembersihan di lokasi tumpuan pembuangan sampah seperti sekitar kawasan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Perlis, Bukit Kubu dan beberapa lagi termasuk cucian secara berkala oleh agensi berkaitan.

“Sampah-sampah di Kuala Perlis ini sebenarnya datang dari luar dan dibawa melalui arus laut ke kawasan ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Selepas ini, Abu Bakar juga mempunyai beberapa perancangan lain termasuk menganjurkan pelbagai program menarik di Kuala Perlis sebagai usaha bagi menyemarakkan pelancongan negeri khususnya bersempena TMPs.

ABU BAKAR HAMZAH

Malah, beliau turut bercadang mewujudkan konsep pekan berkembar antara Kuala Perlis-Satun, Thailand dalam merancakkan ekonomi setempat di kawasan ini dengan kemasukan pengunjung dari negara jiran.

Melihat kepada kesungguhan beliau, saya beranggapan tidak mustahil landskap di Kuala Perlis akan mampu berubah dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Di samping itu, pekan kecil ini juga mungkin tidak lagi hanya menjadi tumpuan buat pengunjung untuk transit ke Pulau Langkawi sebaliknya berupaya setanding dengan lokasi pelancongan popular lain.-MINGGUAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya