ADA filem yang memang dicipta untuk menggoncang, menampar juga mencabar sistem kepercayaan yang selama ini kita genggam.
Ia memberi kita jalan cerita sebuah dunia lain yang tidak pernah kita pandang dan fahami. Abang Adik yang diarahkan Jin Ong memberi saya perasaan itu.
Abang Adik sudah pernah ditayangkan di pawagam Malaysia tahun lalu dan menjadi antara lem yang banyak dibicarakan kualiti dan wacananya; tanpa perlu sewa papan iklan berukuran besar atau iklan berbayar di aplikasi TikTok.
Saya gagal menonton filem itu di panggung namun syukurlah kerana naskhah ini telah dikongsikan menerusi platform Netflix tanpa tapisan apapun.
Abang Adik membawa perbahasan kehidupan dua individu yang berantakan kerana kegagalan mendapatkan kad pengenalan.
Mereka diburu polis, hidup dalam ketakutan dan keresahan kerana disalah anggap pendatang asing.
Sistem yang renyah dan tidak memihak kepada orang miskin menjadikan mereka anak bangsa yang tersisih dan disisihkan.
Mungkin ini kali pertama saya mengenali Wu Kang-ren yang membawakan watak Abang. Saya tidak pernah lihat lakonannya sebelum ini.
Namun saya boleh katakan dia adalah candu dan juara sebenar yang menghidupkan naskhah ini.
Wu bijak memberi tenaga dan emosi yang mencengkam, seorang abang yang bermata buram dan tubuhnya yang kering seolah-olah terlalu berat menanggung hidup.
Di act manapun, Wu tidak pernah gagal membawa karakternya. Walaupun dalam keadaan paling bahagia, contohnya saat jatuh cinta dengan seorang gadis Myanmar, ekor matanya masih terlihat terluka.
PERMAINAN WARNA
Saya melihat pengarah banyak bermain warna biru ketika menceritakan watak Abang.
Ketika temu janji pertamanya dengan gadis Myanmar bernama Xiau-su, mereka singgah di kedai yang menjual baju di pasar pagi.
Gadis itu menyarungkan gaun merah di badannya menandakan cintanya sangat membara kepada Abang manakala Abang mengambil kemeja biru yang disukainya.
Dalam bahasa lem, biru selalu dikaitkan dengan kesedihan, pilu, kedinginan namun setia.
Begitu juga selendang merah bercampur putih yang dibelinya sebagai hadiah pertama dan terakhirnya untuk gadis itu.
Menandakan perasaannya masih berbelah bagi antara keinginan dan ketakutan untuk mencintai.
TELUR SEBAGAI PEMBEBASAN
Plot Abang Adik disusun kemas, sehingga kita tidak berjaya menghidu bahawa mereka bukanlah adik-beradik sebenar.
Namun, apa yang menarik perhatian saya adalah bagaimana kedua-dua beradik ini mempunyai tabiat suka memecahkan telur rebus di kepala masing-masing.
Telur mungkin satu-satunya makanan yang mampu dikunyah untuk orang miskin di Flat Pudu. Namun, mungkin ia juga menjadi simbolik seperti dalam kitab Vinaya yang merakam perbualan Budhha dengan seorang pendeta Brahman.
Katanya, kebangkitan adalah seperti seekor ayam yang menetas daripada telur. Dia berjaya memecah keluar daripada kulit seperti seorang manusia yang membebaskan dirinya daripada kegelapan menuju cahaya.
Dalam kata lain, ia simbol kepada kelahiran semula. Mengingatkan saya kepada dialog terakhir mereka dalam penjara lebih kurang begini;
Semoga di kehidupan akan datang, saya pula yang menjadi ‘abang’ dan menjadi pelindung kepada Abang,’ katanya.
Bukan menyimpulkan kesedihan, tetapi Abang Adik wajar dilihat sebagai filem pembebasan dan harapan bahawa segala yang dilihat berakhir, belum tentu sudah benar-benar selesai.