8 individu ditahan disyaki terlibat elemen Daesh, IS

8 individu ditahan disyaki terlibat elemen Daesh, IS

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Cawangan Khas berjaya mematahkan ancaman elemen ekstremisme, radikalisme dan keganasan di Malaysia dengan penangkapan lapan suspek pada 22 dan 23 Jun lalu.

Mengesahkan perkara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ppenahanan kesemua suspek itu menerusi dalam suatu operasi serentak di empat negeri iaitu Johor, Kelantan, Perak dan Selangor.

Beliau berkata, penahanan enam lelaki dan dua wanita yang disyaki terkait dengan elemen radikalisme Daesh dan Islamic State (IS) adalah tangkapan susulan daripada operasi sebelumnya pada 15, 17 Mei dan 30 Mei lalu. 

“Kesemua suspek ditahan berpandukan kepada peruntukan undang- undang iaitu Bab VIA – Kesalahan-Kesalahan Berkaitan Keganasan, Kanun Keseksaan [Akta 574] dan akan disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 [Akta 747].

“Siasatan awal PDRM terhadap kesemua suspek turut mendapati bahawa wujud ancaman terhadap Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, orang kenamaan dan pimpinan tertinggi PDRM,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Saifuddin, suspek-supek itu adalah daripada kepelbagaian latar belakang pekerjaan dan status ekonomi seperti penganggur, suri rumah dan golongan profesional terpelajar iaitu seorang bekas pensyarah di salah sebuah universiti tempatan.

Katanya, lingkungan umur suspek yang kesemuanya warga tempatan adalah paling berusia adalah 70 tahun dan paling muda 25 tahun yang mempunyai persamaan antara mereka dengan mempunyai pegangan idelogi sama.

“Mereka mempunyai satu idealisme, pegangan dan kepercayaan dengan satu keyakinan bahawa kepimpinan negara ini tidak berteras kepada sistem khalifah misalnya.

“Apabila keadaan itu tidak wujud, maka mereka mewajarkan tindakan untuk memerangi pemerintah. Itu antara sebahagian tanda-tanda pegangan kumpulan ini,” katanya. 

Beliau turut mengingatkan rakyat Malaysia supaya terus prihatin dan peka terhadap ancaman bentuk baharu oleh elemen ekstremisme, radikalisme dan keganasan yang mana dewasa ini menyalahgunakan perkembangan teknologi moden.

Katanya, ini termasuk menjadikan media sosial sebagai salah satu medium menyebarkan fahaman yang membahayakan. 

Pada masa sama, Saifuddin menegaskan, kerajaan tidak berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menjadi penghasut, pelaku, penyokong dan pemberi simpati buat elemen ekstremisme, radikalisme dan keganasan di negara ini. 

Jelasnya, pihak berkuasa tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan yang paling berat ke atas golongan ini. 

“Justeru, kerajaan menggesa orang ramai, aktivis masyarakat, organisasi serta pertubuhan bukan kerajaan, pihak swasta dan semua pihak untuk bekerjasama menggembeleng usaha bagi bersama-sama menangani ancaman ini daripada menggugat perpaduan dan keamanan negara,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan turut memberi jaminan bahawa masyarakat umum tidak perlu berasa gusar terhadap tahap keselamatan dan ketenteraman awam di Malaysia. 

Katanya, hal ini didorong oleh kecekapan dan ketangkasan PDRM menangkis ancaman ekstremisme, radikalisme dan keganasan di peringkat awal yang menjadi manifestasi kesiapsiagaan dan kompetensi pasukan dalam mendepani sebarang ancaman pada setiap masa.

Saifuddin berkata, pihaknya menolak penahanan suspek itu ada kaitan dengan kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram Mei lalu kerana tindakan polis membanteras unsur ekstremisme sebegini adalah berterusan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN