300 peminat motosikal meriahkan Ulang Tahun Kedua DK Bikes

300 peminat motosikal berkuasa besar meriahkan Ulang Tahun Kedua DK Bikes

KAMARUDDIN Mohamed (lima dari kiri) bergambar bersama sebahagian peserta yang hadir pada majlis sambutan Ulang Tahun Kedua DK Bikes di Galeri Pameran DK Bikes, Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hampir 300 peminat motosikal berkuasa besar berkumpul bagi memeriahkan Sambutan Ulang Tahun Kedua DK Bikes Sdn. Bhd. di ibu negara semalam.

Sambutan ulang tahun itu yang diadakan di Galeri Pameran DK Bikes itu bertujuan mengumpul dan menghargai pemilik motosikal berkuasa besar yang selama ini banyak membantu DK Bikes dalam industri permotoran di negara ini.

Pengarah Urusan DK Bikes, Datuk Kamaruddin Mohamed berkata, misinya adalah untuk menyatupadukan pemilik motosikal berkuasa besar selain mengembangkan perniagaan menerusi aktiviti permotoran dan rekreasi.

Katanya, dengan sokongan dan kerjasama daripada semua peminat motosikal berkuasa tinggi, DK Bikes berjaya menjadi pengedar Utama jenama Harley Davidson Import terpakai dari Amerika Syarikat.

AHLI-AHLI Kelab SM Sport Malaysia merakam kenangan Ketika hadir pada majlis sambutan Ulang Tahun Kedua DK Bikes Sdn. Bhd..

“DK Bikes menawarkan pelbagai variasi pilihan motosikal berkuasa tinggi jenama dari Amerika Syarikat kepada penggemarnya di Malaysia,” katanya ketika ditemui pada majlis tersebut semalam.

Mengulas mengenai perancangan DK Bikes pada masa akan datang, Kamaruddin berkata, selepas ini DK Bikes akan memfokuskan 3S iaitu jualan, servis dan alat ganti.

Katanya, fokus 3S itu agar pelanggan DK Bikes tidak berasa ragu-ragu untuk membeli dan menggunakan motosikal berkuasa besar.

Selain itu, tambah beliau, ia juga secara tidak langsung untuk memberi peluang kepada anak muda mempelajari bidang automotif khasnya bidang permotoran.

Pengurus DK Bikes, Iskandar Kamaruddin berkata, pihaknya mengamalkan konsep ‘brother hood’ (persaudaraan) dalam kalangan pemilik motosikal berkuasa tinggi.

Katanya, dengan konsep ikatan persaudaraan itu membolehkan semua pemilik motosikal berkuasa tinggi rasa tidak terasing walaupun baru kenal antara satu sama lain.

Seorang peserta dari Kelab HRB MC, Elvin Goh berkata, dia menyambut baik penganjuran mengumpul pemilik motosikal Harley Davidson dari seluruh negara.

“Perhimpunan ini cukup bermakna kerana ia menghimpunkan semua orang tanpa mengenal status, bangsa dan agama.

“Saya dari kumpulan penunggang motosikal Harley Davidson Chinese yang terbesar di Malaysia cukup gembira dapat menyertai sambutan ini,” katanya.

Bagi Lt. Kol (B) Nor Azm Mohd. Sulong dari Kelab Motosikal Reappear MC pula berkata, pihaknya amat menyokong aktiviti sebegini yang menyatukan semua pemilik motosikal berkuasa tinggi di negara ini.

Katanya, hampir 70 kelab motosikal berkuasa tinggi dan 300 penunggang hadir untuk menyambut ulang tahun DK Bikes kali ini.

“Perhimpunan ini bukan sahaja berjaya mencipta suasana harmoni berbilang kaum dan agama malah berjaya menyatu padukan pencinta motosikal berkuasa tinggi.

“Saya harap sambutan pada kali ini dapat disambung pada masa akan datang, disertai dengan pelbagai aktiviti permotoran yang sihat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya