209 notis bertulis dikeluar peniaga manipulasi harga

209 notis bertulis dikeluar peniaga manipulasi harga

KPDN melakukan sitaan berkait penjualan LPG melebihi harga kawalan yang ditetapkan di Bandar Bukit Puchong, Puchong, Selangor. - GAMBAR KPDN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak 209 Notis Bertulis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan
Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723] dikeluarkan kepada peniaga di seluruh negara melalui Op Kesan 2.0 sejak 20 Mei hingga semalam.

Ketua Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, notis berkenaan dikeluarkan susulan pemeriksaan dilakukan pihaknya melibatkan 993 premis di seluruh negara.

“KPDN ingin memberikan amaran bahawa mana-mana pihak yang didapati mengambil kesempatan dengan melakukan manipulasi harga dan caj perkhidmatan akan dikenakan tindakan tegas terutamanya di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723].

“Tindakan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 bagi perbadanan atau syarikat,
manakala sehingga RM100,000 bagi individu atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Azman turut memaklumkan, pihaknya mengeluarkan Notis Bertulis terhadap sebuah syarikat dan melakukan sitaan berkait penjualan gas petroleum cecair (LPG) melebihi harga
kawalan yang ditetapkan di Bandar Bukit Puchong, Puchong, Selangor.

Katanya, peniaga terbabit diminta untuk mengemukakan maklum balas berhubung harga jualan dan kos LPG yang dijual dalam tempoh lima hari bekerja kepada pihak KPDN susulan tindakan peniaga terbabit.

“Berdasarkan maklumat awal yang diperoleh, sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Putrajaya melakukan siasatan, bermula kira-kira pukul 4 petang pada 15 Jun lalu.

“Pasukan serbuan bertindak melakukan uji beli ke atas LPG yang dijual oleh syarikat terbabit bagi mengenal pasti harga jualan sebenar LPG itu.

“Hasil daripada uji beli yang dilakukan mendapati, LPG berkapasiti 14 kilogram (kg) dijual pada harga jualan RM34 per tong berbanding harga kawalan yang ditetapkan kerajaan iaitu RM26.60 per tong bagi LPG berkapasiti 14 kg,” ujarnya.

Jelasnya, beberapa dokumen perniagaan lain turut diambil bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723]. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya