Usia emas tidak halang Noor Liha usahakan sos cili

Usia emas tidak halang Noor Liha usahakan sos cili

Produk sos jenama Cili Zileha yang diusahakan Noor Liha Hussain kini dijual di pasar raya kawasan dan beliau berhasrat menambah lagi jaringan pasaran produknya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Disindir kerana kerap menghadiri kursus kemahiran, tidak mematahkan semangat seorang wanita berusia 57 tahun, Noor Liha Hussain sehingga akhirnya berjaya mengusahakan pengeluaran produk sos cili.

Dia sebelum itu mengusahakan gerai makanan, namun kerana tidak begitu memberangsangkan lalu memberanikan diri mendaftar kelas dan kursus kemahiran sejak beberapa tahun lalu.

Setelah beberapa kali mencuba, kejayaan menamatkan kursus membuat sos cili di kolej komuniti pada tahun 2020 akhir­nya membuka pintu buat wanita yang berasal dari Batu Gajah, Perak itu untuk mengusahakan produk sos cili menggunakan namanya.

Produknya menggunakan nama Cili Sos Cik Nor sebelum bertukar kepada Sos Cili Zileha.

Di pusat pengeluaran sos cili­nya yang terletak antara Tanjung Tualang dan Kampung Gajah, terdapat banyak sijil yang ditampal di dinding yang membuktikan kesungguhannya menyertai pelbagai kursus serta bimbingan oleh pelbagai agensi.

Noor Liha mengakui, pada awalnya beliau sedikit terkesan sehingga hampir berputus asa akibat kerana sindiran yang di­terimanya.

Namun berbekalkan soko­ngan keluarga dan penduduk kampung beliau berusaha sehingga mengeluarkan produk sos cili, sambil dibantu oleh anak-anaknya secara sambilan.

Bagaimanapun seperti mana-mana perniagaan, Noor Liha menceritakan, banyak cabaran yang dilalui bagi membina produk sos cilinya, terutama terpaksa menyaingi jenama popular dan memberi keyakinan kepada orang ramai.

“Saya mula berniaga di tepi jalan. Menjual makanan bergoreng untuk dicicah dengan sos cili keluaran saya. Ia mengambil masa yang lama untuk menjual dan meraih keyakinan orang ramai,” katanya.

Noor Liha mengakui dia tiada pendedahan mengenai bantuan dana dan penjenamaan produk yang komprehensif, lalu mengambil langkah de­ngan mendapatkan maklumat daripada agensi pembangunan usahawan melalui Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), Seketariat Usahawan Negeri Perak (STeP), Empower NCER Negeri Perak dan Pusat Pembangunan Reka Bentuk Malaysia (DDEC).

Kegigihannya untuk meningkatkan diri bukan setakat memasuki kelas meningkatkan kemahiran dan keusahawanan, malah turut mengetuk pintuk agensi kerajaan negeri Perak serta Pusat yang menawarkan sokongan teknikal mahupun kewangan.

Beberapa agensi tersebut termasuklah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan STeP.

“Daripada bimbingan yang diberikan, saya dapat mendalami pengurusan perniagaan yang sebenar. Saya mahu mengembangkan perniagaan ini ke peringkat lebih tinggi dan menyaingi jenama lain,” katanya.

Beberapa produknya kini mula dijual di pasar raya kawasannya dan berhasrat menambahkan lagi jaringan pasaran produknya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN